VALENTINE NGUMBANG
SIMANGGANG: Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis telah bertindak menyalurkan sumbangan kepada pihak yang bertugas di barisan hadapan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 di sini.
Sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang tersebut adalah berupa 30 kotak air minuman, 10 kotak air isotonik (100plus), lima kotak biskut cracker dan 500 keping penutup hidung dan mulut.
“Sumbangan terhadap para petugas barisan hadapan (frontliner) ini adalah merupakan tanda sokongan saya terhadap komitmen dan pengorbanan mereka dalam menangani pandemik Covid-19.
“Saya berharap agar sumbangan ini dapat meningkatkan semangat mereka ketika berhadapan dengan risiko jangkitan wabak berkenaan dan seterusnya menguatkuasa arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam kalangan penduduk,” kata beliau.
Ia telah pun disampaikan oleh pihak Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Simanggang menerusi wakilnya iaitu Penghulu Tiong Chong Onn dan Kapitan Tay Shiaw Chuan kepada Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Bingkok John.
Selain itu, Harden juga turut berpesan kepada penduduk di Sri Aman agar mengambil kesempatan terhadap penguatkuasaan arahan PKP ini untuk memperkukuhkan institusi keluarga di rumah masing-masing.
Malah beliau juga menasihat penduduk agar mengambil peluang ini untuk melakukan kerja gotong-royong membersihkan kawasan dalam dan luar rumah masing-masing demi kesihatan ahli keluarga mereka.
“Penguatkuasa PKP ini adalah demi kebaikan penduduk. Sila patuhi tempoh perlaksanaan PKP ini dan sekiranya ia dilanjutkan kelak maka kita sebagai penduduk haruslah perlu akur terhadap arahan berkenaan,” kata Harden.
Terdahulu upacara ringkas penyerahan sumbangan Harden untuk para frontliner berkenaan telah pun berlangsung di pekarangan bilik mesyuarat Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman.