SIMANGGANG: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis telah turun padang bagi memantau aduan awam berkaitan tiga laluan di Jalan Ulu Paku, Undop yang mengalami kerosakan di sini, hari ini.
Ketiga-tiga laluan jalan tersebut telah rosak akibat daripada jentera berat berlebihan dengan muatan hasil ladang dan bahan binaan yang melalui jalan tersebut dipercayai menyebabkan jalan menjadi rosak dan berlubang.
Ketika tinjauan, Harden menyarankan kepada pihak yang bertanggung jawab kepada jalan raya berkenaan agar mengambil tindakan terutama Syarikat Wellfield Services Sdn Bhd kerana jalan berkenaan masih dalam tempoh jaminan.
“Agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman juga harus mengambil peranan bagi memastikan keadaan jalan raya sentiasa selamat digunakan oleh pengguna jalanraya, terutamanya kepada penduduk kampung di Ulu Undop dengan tindakan memasang amaran bahaya sekiranya terdapat risiko keselamatan,” katanya.
Sementara itu, Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang turut mengadakan lawatan cadangan naik taraf jalan Katik, Radau sebagai laluan alternatif menuju ke Kampung Radau, Kampung Kaong dan Kampung Samak.
Selain itu, turut dilawati adalah tapak projek naik taraf jalan Kaong-Samak dan jalan akses ke Kampung Radau.
Turut hadir ialah Jurutera Awam JKR Bahagian Sri Aman Shamer Nicholas Felix, Penolong Jurutera Awam JKR Bahagian Sri Aman Kathy Jim, Ahli Majlis Daerah Sri Aman Kaunselor Micheal Pillow Lachen dan kontraktor berkaitan.
Oleh Adi Safarman