Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Hanyut di laut selama tujuh hari, lelaki makan ketam mentah untuk terus hidup
  • GLOBAL

Hanyut di laut selama tujuh hari, lelaki makan ketam mentah untuk terus hidup

Utusan Sarawak 4 hours ago
TERSELAMAT selepas seminggu hanyut di laut, makan 80 ekor ketam mentah untuk hidup.

BEIJING: Seorang pelancong warga China terselamat selepas hanyut selama tujuh hari di laut tanpa jaket keselamatan dan telefon bimbit, dengan hanya bergantung kepada ketam mentah serta sedikit air laut untuk meneruskan hidup.

Menurut laporan media China, Qin Jianping, 39, terjatuh ke laut selepas tergelincir akibat terpijak kulit buah ketika berjalan di tebing di Wilayah Hainan, selatan China, kira-kira 11.00 malam pada 27 Mei lalu.

Jianping, yang kurang mahir berenang, dihanyutkan arus di Selat Qiongzhou selama hampir seminggu sebelum ditemui nelayan pada 2 Jun lalu.

Pada hari kedua kejadian, dia berjaya memanjat sebuah boya maritim yang terapung, namun beberapa feri penumpang yang melalui kawasan itu gagal menyedari kehadirannya.

Usaha untuk berenang kembali ke pantai juga tidak berhasil apabila ombak terus menolaknya semula ke tengah laut.

“Bagi setiap satu meter saya berenang ke arah daratan, ombak menolak saya tiga atau empat meter ke belakang,” katanya kepada agensi berita Xinhua.

Menurutnya, dia hanya mula memakan ketam kecil secara mentah pada hari kelima selepas hanyut.

“Ketam itu hanya sebesar jari kelingking. Saya tangkap dua atau tiga ekor sekali gus, membilasnya dengan air laut dan terus memakannya,” katanya.

Sepanjang tempoh itu, dia menganggarkan telah memakan antara 60 hingga 80 ekor ketam, manakala sumber cecairnya hanya sedikit air laut dan air kencingnya sendiri.

Keadaan fizikalnya semakin lemah sehingga dia mengalami halusinasi sebelum ditemui oleh dua nelayan, Fu Tingsan dan Zheng Shizhong, kira-kira  9.00 pagi pada 2 Jun lalu.

Ketika ditemui, mangsa berada kira-kira 10 kilometer dari daratan dan hampir tidak sedarkan diri.

PENDUDUK kampung dan anggota penyelamat membawa Qin Jianping ke darat di Wilayah Hainan, selatan China, pada 2 Jun 2026.

“Kami menemuinya dalam keadaan sangat lemah. Dia berkata, ‘Saya rasa saya akan mati’. Saya memberitahunya bahawa dia tidak akan mati kerana kami akan membawanya pulang,” kata Fu.

Jianping kemudian dibawa ke pantai untuk mendapatkan rawatan.

Doktor memaklumkan dia mengalami kesan melecur teruk akibat pendedahan kepada cahaya matahari, kerosakan kulit dan jangkitan, selain kehilangan kira-kira 10 kilogram berat badan.

Walaupun turut mengalami peningkatan kadar denyutan jantung dan gangguan metabolik, keadaan kesihatannya kini dilaporkan semakin pulih.

Isterinya berkata, dia sebelum ini sudah menerima hakikat bahawa suaminya telah meninggal dunia dan sempat mengisi tiga botol dengan air laut sebagai kenangan.

Jianping dijangka menjalani rawatan di hospital selama kira-kira seminggu dan bercadang menziarahi dua nelayan yang menyelamatkan nyawanya sebaik sahaja kesihatannya mengizinkan.

“Walau seburuk mana keadaan sekalipun, jika kita dapat mengekalkan ketenangan fikiran, kita masih mampu mengharunginya,” katanya. – Agensi

Continue Reading

Previous: CDC aktifkan tindak balas kecemasan susulan wabak ‘screwworm’ dalam ternakan
Next: Wanita kritikal selepas diserang jerung di Pantai Coogee, Australia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.