oleh Mohd Ali Bin Salim (Munsyi Sastera)
TAHNIAH kepada penulis cerpen “Hanya Kau yang Mampu” kerana menulis sesuatu yang berguna kepada pembaca. Cerpen ini bukanlah sekadar cerita dan permainan kata, sebaliknya membawa mesej yang berguna. Pembaca mendapat info daripada cerita penulis tentang sesuatu untuk menambah pengetahuan melalui bacaan. Oleh yang demikian, penulis hendaklah bijak dalam memasukkan sesuatu informasi dalam cerita supaya unsur itu sebati dalam gaya penceritaan.
Sinopsis
Airene melahirkan anak sulung. Dia mengalami tekanan emosi kerana anaknya mengalami masalah saraf ketika lahir. Dia sedih dan kecewa sehingga tidak hirau akan bayinya itu. Suami Airene berlapang dada menerima ketentuan dan emaknya tetap tanpa jemu memujuk Airene. Setelah dinasihati oleh emaknya, Airene akhirnya sedar dan mahu menjaga bayinya.
Mesej
Cerpen ini membawa mesej penting kepada pembaca tentang keterbukaan dan kesabaran menerima takdir. Penulis menggunakan watak Airene untuk membawa mesej ini. Airene yang sudah lama menanti kehadiran seorang anak sangat terkesan apabila mendapat sesuatu yang bertentangan dengan hajatnya. Biarpun hasratnya untuk menimang cahaya mata telah tertunai, namun dia sukar menerima keadaan anaknya itu.
AIRENE menangis teresak-esak di dalam wad yang sejuk itu. Setelah lima jam bertarung nyawa, dia selamat melahirkan anak sulungnya. Namun, reaksi sedemikian bukanlah sesuatu yang normal apatah lagi anak yang baru dilahirkan itu adalah permata hati yang ditunggu-tunggu setelah enam tahun mendirikan rumah tangga. Seolah-olah belum ada tanda-tanda mahu berhenti, ibunya yang dari tadi duduk di kerusi plastik di sebelahnya menegur lembut.
“Sudahlah, Rene. Kau mahu menangis sampai butakah? Kasihan anakmu itu. Belum menyusu lagi.” Mak Ani menggelengkan kepalanya.
Keadaan ini berlainan dengan watak suaminya, iaitu Eric yang menerima takdir itu dengan hati terbuka. Jiwanya tidak memberontak seperti isterinya;
Meskipun telah dapat dikesan seawal dalam kandungan, namun Eric dan Airene masih berharap agar apa yang diberitahu oleh doktor itu tidak benar. Namun Tuhan telah menentukan segalanya. Eric menerima dengan hati terbuka. Malah, dia telah bersedia sebelum anaknya itu lahir ke dunia. Tidak mungkin dia membuang bayi yang telah sekian lama dia nantikan. Darah dagingnya sendiri. Eric tetap positif dan berdoa agar kekurangan anaknya itu hanyalah dari segi fizikal semata-mata.
Walaupun begitu, setelah sedar akan kesilapannya yang terlalu menurut emosi, Airene akhirnya berubah menjadi ibu yang bertanggungjawab. Watak Airene boleh menerima takdir anaknya dan meneruskan tanggungjawab sebagai seorang ibu yang memberi kasih sayang dan menjaga Aaron;
Eric senang dengan perubahan isterinya. Sudah tentu dia menghargai usaha ibu mertuanya yang tidak lelah memujuk dan menyedarkan Airene selama ini. Airene sudah mula menunjukkan sikap kasih sayang dan keibuannya kepada anak mereka, Aaron.
Penulis juga menambah perubahan baik watak Airene dengan sanggup menyambung cuti demi Aaron. Hal ini membuktikan bahawa Airene memang benar-benar sudah berubah;
Airene menumpukan sepenuh perhatiannya menjaga Aaron sepanjang cuti enam bulan. Dia sengaja memohon cuti tambahan tiga bulan agar dapat menikmati saat-saat indah bersama putera kesayangan mereka.
Penulis juga melanjutkan huraian ceritanya tentang diri Airene yang sudah berubah dengan tidak lagi menjadikan masalah anaknya sebagai satu beban. Malah dia menunjukkan sikap positif bahawa dia tidak malu memiliki anak seperti Aaron kerana berkongsi tentangnya kepada orang lain. Hal ini merupakan mesej penulis kepada pembaca, khasnya golongan yang menghadapi situasi yang sama seperti Airene agar tidak malu dan tidak menganggap keadaan anak istimewa itu sebagai satu masalah;
Dia juga sudah mula berkongsi gambar-gambar anaknya di media sosial mereka. Dia teruja dengan ucapan tahniah dan kegembiraan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan dan saudara-mara mereka. Namun, dia tidak menunjukkan kekurangan yang ada pada anaknya itu. Baginya, itu semua tidak perlu. Biarlah hanya mereka suami isteri sahaja yang tahu.
Watak pasangan yang menjadi ukiran teladan melalui ilham penulis ini sewajarnya dilakukan oleh pasangan ibu-bapa yang menghadapi masalah yang sama. Golongan anak yang senasib dengan Aaron perlu diberi perhatian, khususnya dari segi keadaan kesihatannya. Oleh yang demikian penulis, mengukir watak bertanggungjawab pasangan suami-isteri ini sebagai contoh;
Sepanjang enam bulan, Airene dan Eric tidak pernah gagal menghantar Aaron bertemu pakar dan ahli terapi untuk memantau kesihatan anak mereka. Selain rawatan fizikal, mereka juga perlu menjaga makanan dan ubat-ubatan yang telah dipreskripsi untuk Aaron. Namun, mereka bersyukur kerana Aaron sentiasa berada dalam keadaan sihat, malah aktif seperti kanak-kanak lain. Dia mampu meniarap dan memegang botol susunya sendiri. Malah pandai juga mencium ayah dan ibunya.
Selain itu, penulis juga bercerita tentang keperluan pasangan suami-isteri yang mempunyai anak seperti Aaron agar mendapatkan khidmat kaunseling. Walaupun emosi mereka sudah stabil seperti Airene, namun keperluan khidmat kaunseling itu masih diperlukan untuk lebih memahami situasi dan mendapat khidmat nasihat. Hal ini ditulis oleh penulis;
Sementara itu, Airene turut pergi ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling berkenaan anaknya. Pegawai JKM yang bertugas telah memberi penerangan yang jelas tentang keistimewaan dan kebajikan yang diperoleh anak-anak istimewa seperti Aaron yang merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) berdaftar dengan JKM. Airene juga bertemu dengan kaunselor JKM, Dr. Sharifah Jannah yang telah 15 tahun bertugas di sana. Beliau berbicara hati ke hati dengan Airene berkenaan anaknya. Beliau memahami kegusaran Airene tentang masa depan anaknya. Namun, beliau menasihatkan Airene untuk tidak terlalu bimbang.
Selain itu, penulis juga menyampaikan mesej kepada masyakarat agar membantu golongan ini, khususnya keluarga terdekat dengan memberi sokongan moral. Kehadiran watak Mak Ani yang ambil berat terhadap cucunya telah membantu Airene dan Eric. Malah Mak Ani berperanan penting memujuk Airene ketika dia tewas oleh tekanan emosi;
Tamat sahaja cuti, Mak Ani datang dari kampung untuk menjaga cucunya. Airene belum bersedia untuk menghantar Aaron ke pusat asuhan kanak-kanak kerana bimbang penerimaan orang lain terhadap anaknya yang istimewa itu. Eric memahami kegusaran isterinya meskipun segan untuk menyusahkan ibu mertuanya itu, namun Mak Ani menyatakan kesediaannya untuk menjaga cucunya selagi kudrat masih ada.
Informatif
Cerpen ini juga bersifat infomatif. Penulis membekalkan info kepada pembaca, iaitu tentang penyakit Palsi Serebral dan rawatannya. Penulis mengetahui tentang subjek yang diceritakan. Cuma penulis sewajarnya memberi maklumat yang tepat tentang subjek yang ingin diketengahkan walaupun tulisan ini berbentuk karya kreatif dan bukannya ilmiah. Penulis telah bercerita tentang penyakit Aaron seperti berikut;
Eric menerima ketentuan bahawa anaknya mempunyai Palsi Serebral, sejenis gangguan saraf yang boleh menjejaskan pergerakan anaknya terutama di bahagian kaki. Eric tetap positif dan berdoa agar kekurangan anaknya itu hanyalah dari segi fizikal semata-mata. Dari apa yang dibacanya dari laman-laman berkaitan Palsi Serebral, ada juga kanak-kanak sebegitu yang normal dari segi inteleknya. Malah ada yang sangat berjaya dan bijak pandai.
Melalui cerpen ini, pembaca sekurang-kurangnya telah mendapat maklumat tentang keperluan tertentu untuk menjaga anak istimewa yang mengalami Palsi Serebral, misalnya memerlukan sesi pemeriksaan kesihatan, kaunseling, penjagaan ubatan dan makanan. Aaron juga perlu dilatih seperti cerita penulis;
Jika dahulu dia menggunakan kerusi roda untuk bergerak namun kini dia sudah mula belajar menggunakan alat sokongan kaki untuk melatih pergerakannya. Ia merupakan proses yang panjang dan sudah tentu tidak akan membuatkannya terus boleh berjalan sendiri dalam sekelip mata. Doktor meyakinkan Eric dan Airene bahawa ini adalah proses untuk menguatkan otot dan tulang Aaron dan mengingatkan mereka agar tidak terlalu berharap untuk Aaron terus dapat berjalan dalam masa terdekat kerana anak mereka masih terlalu muda dan kecil. Berjalan merupakan proses pemulihan yang akan memakan masa yang panjang. Hanya kesabaran dan kecekalan dapat membuktikannya.
Konflik dalam Cerita
Pada awal cerpen penulis telah menghadirkan konflik. Konflik ini diperlihatkan dalam diri watak Airene. Airene digambarkan sebagai seorang wanita yang menerima tekanan emosi disebabkan oleh anak yang dilahirkannya menghadapi masalah penyakit saraf. Penulis berjaya menggambarkan watak seorang yang sedang berkonflik dengan dirinya. Konflik merupakan unsur penting untuk menggerakkan cerita. Dalam hal ini penulis dikira berjaya menghidupkan konflik seperti yang ditunjukkan oleh watak Airene. Airene diceritakan menangis, diam, termenung, tidak selera makan dan tidak peduli akan bayinya. Keadaan digambarkan oleh penulis seperti berikut;
Airene termenung kosong di tepi tingkap biliknya. Enggan keluar. Mak Ani yang dari tadi mengendong cucunya mundar-mandir di hadapan Airene dengan harapan anaknya ingin memegang dan memeluk anaknya, sama seperti ibu-ibu yang lain. Sudah puas dipujuk, namun Airene tetap begitu.
“Benci betul kau dengan anakmu ini, Rene. Bagus mak bawa balik ke kampung saja kan? Temankan mak. Sudah tiga minggu dia tunggu kamu peluk dia. Kenapa keras sangat hati kamu ni?” Mak Ani bersuara tenang.
Penulis telah meleraikan konflik dalam watak Airene melalui konflik lain yang dihadirkan oleh watak Mak Ani. Mak Ani telah menyatakan sesuatu menyebabkan Airene sedar;
“Minggu depan mak bawa dia pulang ke kampung. Banyak saudara-mara kita di kampung mahu jaga anak ni. Makcik Alice kamu mesti suka. Dia kan tiada anak.” Sambung Mak Ani lagi sambal menjeling Airene dengan ekor matanya.
“Kalau kamu masa lahir dulu macam ni juga, patut tak mak tinggalkan kamu?” soal Mak Ani dengan nada yang agak tinggi.
Airene terkejut. Kemudian dia menangis semahunya. Mak Ani yang merasa bersalah segera memujuk Airene sambil meminta maaf.
Penambahbaikan
Cerpen ini menarik kerana muatan isinya yang informatif. Cuma sesuatu yang perlu penulis belajar ialah gaya bercerita. Jika sesuatu unsur ilmu atau info dimasukkan dalam karya kreatif, penulis perlu bijak menggunakan teknik atau gaya tertentu agar sebati dalam cerita dan tidak nampak seperti bahan rencana. Jika teknik atau gaya ini dikesampingkan, maka akan berlaku percanggahan antara gaya penulisan kreatif dan bukan kreatif. Gaya bercerita merupakan gaya kreatif, manakala gaya bukan kreatif lebih kepada karangan atau rencana. Pada bahagian awal cerpen ini, gaya cerita yang diterapkan sangat menarik dengan menggambarkan watak Airene yang bertarung dengan konflik. Manakala pada bahagian pertengahan hingga ke akhir cerita, gaya itu sudah bertukar seperti rencana atau pemberitahuan. Penulis terbukti sudah tahu menggunakan gaya bercerita (cerita) apabila melihat pada satu-satu bahagian dalam cerpen ini, namun gaya itu bertukar apabila penulis mula memasukkan info. Info sangat berguna dalam karya, tetapi hendaklah diberi perhatian tentang cara memasukkan info tersebut, yakni harus kreatif sesuai dengan gaya penulisan karya kreatif seperti cerpen. Malah terdapat pada satu-satu bahagian; penulis campur tangan dalam cerita dan seperti berkhutbah mengajar pembaca. Hal seperti ini hendaklah dielakkan dalam karya kreatif;
Banyak kanak-kanak istimewa di luar sana yang memerlukan sokongan moral daripada masyarakat di sekeliling mereka. Tiada insan di dunia ini yang mahu dilahirkan dan melahirkan anak yang cacat dan abnormal. Namun di sebalik kesulitan itu, insan-insan istimewa ini terbela nasibnya. Banyak kemudahan dan keistimewaan yang diberikan kepada mereka dari segi kewangan dan bantuan alat sokongan untuk membantu mereka meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
Kesimpulannya, cerpen ini menarik sifatnya yang informatif telah berupaya menyampaikan mesej utama penulis untuk difikirkan oleh pembaca. Namun demikian, dalam penghasilan karya kreatif, gaya penceritaan karya kreatif perlu difahami dan dijelaskan untuk membezakan cerita dengan karangan atau rencana yang bersifat bukan kreatif. Penulis dilihat telah menggunakan dua gaya penulisan, iaitu bercerita dan pemberitahuan. Sekiranya penulis berusaha untuk terus menekuni dan memperkemas gaya penceritaannya, penulis pasti boleh menghasilkan karya-karya yang lebih baik pada masa-masa akan datang.