Oleh Margaret Sahat
AIRENE menangis teresak-esak di dalam wad yang sejuk itu. Setelah lima jam bertarung nyawa, dia selamat melahirkan anak sulungnya. Namun, reaksi sedemikian bukanlah sesuatu yang normal apatah lagi anak yang baru dilahirkan itu adalah permata hati yang ditunggu-tunggu setelah enam tahun mendirikan rumah tangga. Seolah-olah belum ada tanda-tanda mahu berhenti, ibunya yang dari tadi duduk di kerusi plastik di sebelahnya menegur lembut.
“Sudahlah, Rene. Kau mahu menangis sampai butakah? Kasihan anakmu itu. Belum menyusu lagi.” Mak Ani menggelengkan kepalanya.
Tidak berapa lama kemudian, seorang jururawat masuk bersama seorang bayi lelaki yang berbalut dengan kain hijau. Bayi itu diletakkan di sebelah Airene untuk diberi susu badan. Airene tiba-tiba berhenti menangis apabila menatap wajah bayinya itu. Kulitnya cerah dan hidung mancung persis suaminya. Pasti kacak apabila dewasa kelak.
“Puan, sekarang boleh susukan anak ya.” Ujar jururawat itu sambil berlalu pergi.
Mak Ani membantu Airene duduk pada posisi yang lebih selesa dan memegang bayi pada kedudukan yang betul.
Airene hanya memandang ke arah dinding tanpa bercakap sepatah pun. Eric masuk ke dalam wad setelah selesai dengan urusan di kaunter. Dia terus mencium dahi isterinya dan mengusap kepalanya sambal mengucapkan terima kasih. Air mata Airene jatuh perlahan-lahan.
“Abang bersyukur dikurniakan anak yang telah lama kita nantikan. Kita harus menerimanya dengan rasa gembira. Semua orang ada ujian dalam hidup mereka. Begitu juga kita. Abang sayang Airene dan anak kita. Kita akan jaganya bersama-sama.” Ujar Eric.
Setelah semalaman berada di wad, Airene dibenarkan pulang. Namun keadaannya masih seperti semalam. Hanya diam dan banyak termenung. Mak Ani membantu mengendong cucunya. Dia akan berada di rumah menantunya untuk menjaga Airene sepanjang tempoh berpantang. Mungkin juga dia akan berada lebih lama sekurang-kurangnya sehingga emosi anaknya stabil.
Airene tidak mahu memandang anaknya. Matanya mula berkaca seolah-olah tidak dapat menerima takdir yang telah tertulis. Eric hanya mampu memujuk dan memberi kata-kata semangat namun tidak ada apa yang berubah. Airene enggan berbicara dengan suaminya atau meluah perasaan yang terbuku. Makan juga tidak berselera. Hanya dua tiga suap.
Mak Ani mengurut badan anaknya setiap pagi dan petang selepas mandi agar Airene merasa lega dan tenang. Dia juga tidak banyak membebel seperti kebiasaannya. Biarlah Airene menenangkan diri seminggu dua. Penting dalam tempoh ini untuk memastikan emosinya stabil.
Di bilik bayi, Eric menukarkan lampin dan memakaikan baju anaknya yang usai dimandikan oleh ibu mertuanya tadi. Anaknya tidak banyak ragam. Tidur juga mengikut masa dan tidak congek. Dia mengambil minyak bayi dan disapukan pada kedua-dua kaki anaknya yang kecil dan kurus itu. Kaki-kaki itu begitu lembut seperti tidak bertulang. Eric menerima ketentuan bahawa anaknya mempunyai Palsi Serebral, sejenis gangguan saraf yang boleh menjejaskan pergerakan anaknya terutama di bahagian kaki.
Meskipun telah dapat dikesan seawal dalam kandungan, namun Eric dan Airene masih berharap agar apa yang diberitahu oleh doktor itu tidak benar. Namun Tuhan telah menentukan segalanya. Eric menerima dengan hati terbuka. Malah, dia telah bersedia sebelum anaknya itu lahir ke dunia. Tidak mungkin dia membuang bayi yang telah sekian lama dia nantikan. Darah dagingnya sendiri.
Eric tetap positif dan berdoa agar kekurangan anaknya itu hanyalah dari segi fizikal semata-mata. Dari apa yang dibacanya dari laman-laman berkaitan Palsi Serebral, ada juga kanak-kanak sebegitu yang normal dari segi inteleknya. Malah ada yang sangat berjaya dan bijak pandai. Namun untuk meyakinkan isterinya seperti agak sukar buat masa ini. Airene perlukan lebih waktu untuk menerima hakikat itu. Tetapi sebagai suami, dia tidak akan berputus asa untuk melihat senyuman di wajah isterinya itu semula.
Airene termenung kosong di tepi tingkap biliknya. Enggan keluar. Mak Ani yang dari tadi mengendong cucunya mundar-mandir di hadapan Airene dengan harapan anaknya ingin memegang dan memeluk anaknya, sama seperti ibu-ibu yang lain. Sudah puas dipujuk, namun Airene tetap begitu.
“Benci betul kau dengan anakmu ini, Rene. Bagus mak bawa balik ke kampung saja kan? Temankan mak. Sudah tiga minggu dia tunggu kamu peluk dia. Kenapa keras sangat hati kamu ni?” Mak Ani bersuara tenang.
Airene diam sahaja. Tiada respons.
“Minggu depan mak bawa dia pulang ke kampung. Banyak saudara-mara kita di kampung mahu jaga anak ni. Makcik Alice kamu mesti suka. Dia kan tiada anak.” Sambung Mak Ani lagi sambal menjeling Airene dengan ekor matanya.
“Kalau kamu masa lahir dulu macam ni juga, patut tak mak tinggalkan kamu?” soal Mak Ani dengan nada yang agak tinggi.
Airene terkejut. Kemudian dia menangis semahunya. Mak Ani yang merasa bersalah segera memujuk Airene sambil meminta maaf.
“Maafkan mak. Mak tak sengaja tadi. Jangan kamu asyik melayan perasaan kamu yang kecewa tu. Tak ada kesudahannya. Tengok suami kamu tu. Sabar saja melayan anaknya. Melayan kamu lagi. Tidak ada pun mukanya kecewa. Malam-malam dia dodoikan anak. Tukar baju dan lampin. Buatkan susu. Esok, bangun pergi kerja pula. Tiada pun dia mengadu letih atau susah. Apa alasan kamu?” Mak Ani meluahkan perasannya.
Airene mengesat air mata yang semakin mengering. Dia bangun dan terus mengendong anaknya. Diciumnya anak itu berkali-kali sambil tersenyum. Mak Ani pun senyum. Lega rasanya melihat Airene sudah sedar akan keegoannya. Perlahan-lahan dia mengajar Airene cara-cara menjaga anaknya.
Eric senang dengan perubahan isterinya. Sudah tentu dia menghargai usaha ibu mertuanya yang tidak lelah memujuk dan menyedarkan Airene selama ini. Airene sudah mula menunjukkan sikap kasih sayang dan keibuannya kepada anak mereka, Aaron. Airene menumpukan sepenuh perhatiannya menjaga Aaron sepanjang cuti enam bulan. Dia sengaja memohon cuti tambahan tiga bulan agar dapat menikmati saat-saat indah bersama putera kesayangan mereka.
Dia juga sudah mula berkongsi gambar-gambar anaknya di media sosial mereka. Dia teruja dengan ucapan tahniah dan kegembiraan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan dan saudara-mara mereka. Namun, dia tidak menunjukkan kekurangan yang ada pada anaknya itu. Baginya, itu semua tidak perlu. Biarlah hanya mereka suami isteri sahaja yang tahu.
Sepanjang enam bulan, Airene dan Eric tidak pernah gagal menghantar Aaron bertemu pakar dan ahli terapi untuk memantau kesihatan anak mereka. Selain rawatan fizikal, mereka juga perlu menjaga makanan dan ubat-ubatan yang telah dipreskripsi untuk Aaron. Namun, mereka bersyukur kerana Aaron sentiasa berada dalam keadaan sihat, malah aktif seperti kanak-kanak lain. Dia mampu meniarap dan memegang botol susunya sendiri. Malah pandai juga mencium ayah dan ibunya.
Tamat sahaja cuti, Mak Ani datang dari kampung untuk menjaga cucunya. Airene belum bersedia untuk menghantar Aaron ke pusat asuhan kanak-kanak kerana bimbang penerimaan orang lain terhadap anaknya yang istimewa itu. Eric memahami kegusaran isterinya meskipun segan untuk menyusahkan ibu mertuanya itu, namun Mak Ani menyatakan kesediaannya untuk menjaga cucunya selagi kudrat masih ada.
Rakan-rakan sekerja Airene gembira melihat kehadiran Airene semula ke pejabat. Banyak kerja yang menanti. Jika sebelum ini Airene selalu pulang akhir dari pejabat, namun sekarang tepat jam lima petang pasti akan meninggalkan pejabat agar dapat segera pulang ke rumah. Begitulah rutin hariannya kini.
Aaron terus membesar menjadi kanak-kanak yang riang dan ceria. Dia kini sudah berumur lima tahun. Jika dahulu dia menggunakan kerusi roda untuk bergerak namun kini dia sudah mula belajar menggunakan alat sokongan kaki untuk melatih pergerakannya. Ia merupakan proses yang panjang dan sudah tentu tidak akan membuatkannya terus boleh berjalan sendiri dalam sekelip mata.
Doktor meyakinkan Eric dan Airene bahawa ini adalah proses untuk menguatkan otot dan tulang Aaron dan mengingatkan mereka agar tidak terlalu berharap untuk Aaron terus dapat berjalan dalam masa terdekat kerana anak mereka masih terlalu muda dan kecil. Berjalan merupakan proses pemulihan yang akan memakan masa yang panjang. Hanya kesabaran dan kecekalan dapat membuktikannya.
Airene khuatir tentang persekolahan anaknya. Haruskah dia menghantar anaknya ke sekolah biasa atau ke sekolah khas? Bagaimana Aaron mampu bergaul dengan kanak-kanak lain tanpa mereka memandang serong kepadanya? Atau pergi ke sekolah pendidikan khas di mana dia boleh bertemu dengan kanak-kanak lain sepertinya tanpa perlu rasa terasing? Tiba-tiba terasa begitu banyak perkara yang perlu dia fikirkan.
Mereka suami isteri sepakat untuk mendapatkan nasihat daripada yang lebih arif mengenai perkara itu sebelum membuat sebarang keputusan. Sudah pasti mereka hanya inginkan yang terbaik untuk Aaron.
Mereka membuat temu janji dengan pakar kanak-kanak di hospital. Beberapa ujian dan penilaian dilakukan terhadap Aaron untuk mengesahkan keadaan fizikal dan inteleknya. Mereka telah bersedia dengan apa sahaja keputusan yang diterima.
Sementara itu, Airene turut pergi ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling berkenaan anaknya. Pegawai JKM yang bertugas telah memberi penerangan yang jelas tentang keistimewaan dan kebajikan yang diperoleh anak-anak istimewa seperti Aaron yang merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) berdaftar dengan JKM.
Airene juga bertemu dengan kaunselor JKM, Dr. Sharifah Jannah yang telah 15 tahun bertugas di sana. Beliau berbicara hati ke hati dengan Airene berkenaan anaknya. Beliau memahami kegusaran Airene tentang masa depan anaknya. Namun, beliau menasihatkan Airene untuk tidak terlalu bimbang. Airene perlu optimis dan memandang perkara itu sebagai satu cabaran buatnya, sama seperti ibu-ibu yang senasib dengannya. Sikapnya adalah kekuatan untuk anaknya membesar dengan gembira dan berjaya seperti orang lain hingga dewasa kelak. Dr. Sharifah turut mengingatkan Airene bahawa hanya insan terpilih sahaja mampu menggalas ujian yang diberi oleh-Nya.
Airene berasa tenang sepanjang proses kaunseling tersebut. Jauh di sudut hatinya dia juga bersetuju dengan semua kata-kata Dr. Sharifah. Malah, dia seharusnya lebih bersyukur kerana Aaron hanya mempunyai masalah fizikal. Dari segi intelek, anaknya sebijak kanak-kanak lain sebayanya. Malah lebih cerdik lagi. Anaknya mampu belajar bersama murid-murid normal yang lain. Apa yang dikhuatirinya ialah bagaimana anaknya mampu bergerak ke sana sini tanpa bantuan ibunya di sekolah.
Eric dan Airene sepakat untuk menghantar Aaron ke sekolah tadika biasa agar dia boleh bergaul bersama kanak-kanak normal yang lain. Pada mulanya dia pasti akan berasa kekok dan terasing namun mereka percaya pihak sekolah akan melakukan yang terbaik bagi memastikan Aaron dilayan sama seperti rakan-rakannya dan tidak merasa tersisih dengan kekurangannya. Lebih baik segalanya bermula sejak kecil. Apabila meningkat dewasa, Aaron sudah berupaya untuk menghadapi perubahan yang berlaku di sekelilingnya. Mereka percaya Aaron mampu.
Banyak kanak-kanak istimewa di luar sana yang memerlukan sokongan moral daripada masyarakat di sekeliling mereka. Tiada insan di dunia ini yang mahu dilahirkan dan melahirkan anak yang cacat dan abnormal.
Namun di sebalik kesulitan itu, insan-insan istimewa ini terbela nasibnya. Banyak kemudahan dan keistimewaan yang diberikan kepada mereka dari segi kewangan dan bantuan alat sokongan untuk membantu mereka meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
Meskipun begitu masih ramai anggota masyarakat yang tidak cuba untuk memahami dan menjiwai perasaan insan yang mempunyai kad OKU. Malah ada juga yang sanggup mencuri tempat letak kereta mereka tanpa segan silu. Di manakah kesedaran dan empati kepada golongan ini? Contoh sikap yang bagaimanakah yang kita ingin tunjukkan kepada anak-anak kita? Tepuk dada tanyalah iman.
Buat semua insan istimewa di luar sana, jangan pernah merasa gentar dengan ujian yang melanda. Laluinya dengan kuat dan tabah. Sesungguhnya, hanya kamu yang mampu mengubahnya.