
KUALA LUMPUR: Hampir 29,000 syarikat telah melaksanakan e-Invois melibatkan 262 juta transaksi e-Invois sehingga 28 April 2025, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.
Beliau berkata pencapaian itu melibatkan 5,400 pembayar cukai fasa pertama dan 12,600 pembayar cukai fasa kedua yang melaksanakan e-Invois sejak 1 Januari lepas.
Katanya ia turut membabitkan lebih 11,000 pembayar cukai fasa ketiga yang melaksanakannya secara sukarela lebih awal daripada tarikh mandatori bermula 1 Julai 2025.
“Ini merupakan pencapaian luar biasa yang membuktikan dengan komitmen dan persediaan yang rapi, transformasi digital dalam sistem percukaian mampu dilaksanakan dengan berkesan.
“Kita harap lebih ramai lagi dapat mengambil bahagian dalam e-Invois,” katanya pada majlis perasmian Jelajah Mega e-Invois 2025 (Peringkat Nasional) di sini hari ini.
Matlamat program itu untuk memberi penerangan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengenai pelaksanaan e-Invois serta pengenalan sistem Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) seperti portal MyInvois, aplikasi MyInvois serta MyInvois e-pos yang disediakan percuma kepada semua pembayar cukai.
Lim berkata e-Invois juga bagi memastikan perniagaan di negara ini menuju ke arah pendigitalan dan pihaknya tidak meletakkan sebarang sasaran dari segi pertambahan jumlah kutipan cukai menerusi e-Invois.
Inisiatif e-Invois telah dimulakan sejak Ogos 2024 bagi syarikat dengan jumlah jualan tahunan RM100 juta ke atas manakala fasa kedua telah dimulakan pada 1 Januari lepas untuk perniagaan daripada RM25 juta hingga RM100 juta.
Fasa ketiga melibatkan hampir 280,000 pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM500,000 hingga RM25 juta, yang akan mula melaksanakan e-Invois secara mandatori pada 1 Julai ini.
Ia akan diperluaskan kepada pembayar cukai fasa keempat pada 1 Januari 2026.
Mengenai kos yang mungkin ditanggung Kementerian Kewangan (MoF) berhubung skop pengecualian Cukai Perkhidmatan, Lim berkata MoF masih meneliti perkara tersebut.
“Kami juga dalam proses mengadakan libat urus dengan pemegang taruh. Kalau ada maklumat lanjut, MoF akan membuat pengumuman,” katanya. — Bernama