Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Haji bukan sekadar perjalanan, madrasah agung transformasi diri dan jiwa
  • SEMASA

Haji bukan sekadar perjalanan, madrasah agung transformasi diri dan jiwa

Utusan Sarawak 3 hours ago
SELEPAS lebih 50 hari berada di Tanah Suci membuat liputan musim haji 1447H/ 2026M, satu perkara paling jelas dapat disimpulkan ialah haji bukan sekadar perjalanan bagi melengkapkan rukun Islam kelima tetapi pengalaman luar biasa yang meninggalkan kesan mendalam. Sejak hari pertama ketibaan duyufurrahman dari Malaysia di kota suci ini sehinggalah mereka bersiap untuk pulang ke tanah air, pelbagai kisah menyentuh hati dapat disaksikan dalam kalangan jemaah. Daripada mereka yang sabar menanti giliran berpuluh tahun dan gigih menyimpan wang sejak usia muda, sehinggalah golongan uzur yang tetap cekal, masing-masing membuktikan keazaman tinggi demi menyempurnakan impian seumur hidup tersebut. Foto BERNAMA

MAKKAH: Selepas lebih 50 hari berada di Tanah Suci membuat liputan musim haji 1447H/ 2026M, satu perkara paling jelas dapat disimpulkan ialah haji bukan sekadar perjalanan bagi melengkapkan rukun Islam kelima tetapi pengalaman luar biasa yang meninggalkan kesan mendalam.

Sejak hari pertama ketibaan duyufurrahman dari Malaysia di kota suci ini sehinggalah mereka bersiap untuk pulang ke tanah air, pelbagai kisah menyentuh hati dapat disaksikan dalam kalangan jemaah.

Daripada mereka yang sabar menanti giliran berpuluh tahun dan gigih menyimpan wang sejak usia muda, sehinggalah golongan uzur yang tetap cekal, masing-masing membuktikan keazaman tinggi demi menyempurnakan impian seumur hidup tersebut.

Antara detik paling menyentuh hati penulis ialah ketika menyaksikan jutaan jemaah berpakaian ihram serba sederhana tanpa sebarang perbezaan pangkat, pekerjaan atau asal-usul, berhimpun di Arafah sebagai hamba yang membawa doa, harapan dan pengharapan yang sama.

Meskipun jemaah berdepan pelbagai cabaran sepanjang perjalanan haji termasuk cuaca panas, keletihan dan pergerakan yang melibatkan jutaan manusia dalam tempoh singkat, kesediaan mereka untuk bersabar dan saling membantu tetap jelas kelihatan.

Kelancaran operasi haji Malaysia pula banyak disokong oleh komitmen petugas Lembaga Tabung Haji (TH) yang bertungkus-lumus memastikan kebajikan, kesihatan dan urusan ibadah jemaah sentiasa terpelihara.

Bagi kebanyakkan jemaah, kehadiran petugas berkenaan memberi ketenangan kerana mengetahui bantuan sentiasa tersedia apabila diperlukan.

Usai fasa kemuncak haji, riak wajah jemaah mula menzahirkan perubahan apabila perasaan gementar dan bimbang yang membayangi mereka pada awal ketibaan kini diganti dengan ketenangan yang jelas terpancar pada wajah masing-masing.

Rata-rata jemaah yang ditemui mengakui pengalaman di Tanah Suci mendidik mereka untuk lebih menghargai nikmat kesihatan, kebahagiaan keluarga serta masa lapang – perkara yang sering terlepas pandang ketika berada di tanah air.

Menjelang hari-hari terakhir sebelum berangkat pulang ke tanah air, Masjidil Haram terus dibanjiri jemaah yang mengambil kesempatan untuk memperbanyakkan ibadah.

Sama ada meluangkan masa berjam-jam membaca al-Quran, melakukan tawaf sunat, mahupun sekadar menatap Kaabah dengan linangan air mata, setiap detik berharga itu dimanfaatkan sepenuhnya.

Hakikatnya, meninggalkan Makkah bukanlah satu perkara mudah buat kebanyakan jemaah kerana bumi barakah ini telah menjadi saksi kepada rintihan doa, titisan air mata serta harapan mereka, sekali gus meninggalkan memori yang sukar dipadamkan daripada ingatan.

Ia adalah madrasah agung yang mendidik jiwa manusia tentang erti sabar ketika diuji, bersyukur atas segala nikmat, serta memahami hakikat sebenar sebagai seorang hamba.

Maka tidak hairanlah apabila air mata mengiring kepulangan jemaah ketika mengucapkan selamat tinggal kepada kota Makkah kerana haji bukan sekadar satu perjalanan untuk dikenang tetapi proses transformasi diri yang akan terus subur dalam sanubari sepanjang hayat.- Bernama

Continue Reading

Previous: Najib dibenar peroleh beberapa dokumen dalam kes saman AS$8 bilion 1MDB
Next: AS pertingkat pemprosesan visa, persediaan bagi Piala Dunia FIFA 2026

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.