MAKKAH: Jemaah haji wanita yang datang haid ketika berada di Tanah Suci tidak perlu merasa kecewa ataupun murung kerana tidak dapat melakukan ibadah seperti solat dan mengunjungi masjid sepanjang tempoh berkenaan.
Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci Tabung Haji (TH) Zaimah Mohd Zain berkata, seseorang wanita yang faham bahawa haid itu adalah satu anugerah Ilahi akan reda dengan perkara itu kerana haid tidak mencacatkan amalan ibadah mereka.
“Haid ini adalah anugerah kepada kaum hawa dan jika kita faham perkara itu kita tidak harus rasa risau kerana ia tidak mencacatkan ibadah haji seseorang wanita mahupun menjadi halangan untuk mereka mendapatkan haji mabrur.
“Banyak ibadah lain yang masih boleh dilaksanakan kecuali berkaitan masjid, tawaf dan membaca al-Quran sahaja. Pengisian lain yang boleh dilakukan seperti zikir, berdoa sepenuh hati sepanjang berada dalam keadaan itu.
“Apabila kita gunakan masa dengan berzikir dan menghayatinya, insya-Allah zikir itu lebih berkualiti dan pahalanya mungkin boleh sama dengan mereka solat dan tawaf dan sebagainya…jadi tak perlu rasa kecil hati, ada ganjaran di sebalik ‘percutian’ itu, kena terima dengan reda,” katanya kepada petugas media di Ibu Pejabat TH di sini.
Zaimah yang berpengalaman menjadi Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci TH sejak 2007 berkata, walaupun dalam keadaan uzur syarie, rukun dan wajib haji yang lain seperti wukuf di Padang Arafah, mabit di Muzdalifah dan Mina, serta tahalul masih boleh dilakukan.
Menurutnya isu tentang fiqh wanita sememangnya antara soalan yang kerap ditanya menerusi talian ibadah yang diperkenalkan TH menerusi aplikasi THhujjaj selain tentang larangan ihram.
“Contohnya semasa dalam larangan ihram yang panjang disebabkan haid, apa yang berlaku kebanyakan daripada wanita keliru mengenai pemakaian losen. Mereka tidak berani untuk memakainya kerana risau melanggar larangan ihram kerana kurang jelas tentang perkara itu.
“Sebenarnya bahan kosmetik ataupun losen berunsurkan berminyak dilarang dikenakan di muka, namun tidak ada masalah sekiranya losen berkenaan hendak disapu di bahagian peha atau kaki untuk mengelakkan kulit kering,” katanya.
Sehubungan itu beliau menasihati jemaah haji wanita yang menghadapi masalah atau mempunyai kekeliruan tentang permasalahan fiqh wanita supaya menghubungi Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci untuk mengelakkan kekeliruan. – Bernama