
EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: Erling Haaland menjaringkan dua gol buat perlawanan kedua berturut-turut untuk membantu Norway menewaskan Senegal 3-2 sekali gus mengesahkan kemaraan pasukannya ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia, sebentar tadi.
Marcus Holmgren Pedersen yang masuk sebagai pemain gantian meletakkan Norway di hadapan pada penghujung separuh masa pertama di New Jersey sebelum Haaland menggandakan kelebihan sejurus babak kedua bermula.
Ismaila Sarr merapatkan kedudukan buat Senegal, namun Haaland sekali lagi mengambil kesempatan atas kelemahan benteng lawan untuk memastikan Norway melangkah ke pusingan kalah mati lebih awal, Sarr kemudian menjaringkan gol kedua peribadinya pada penghujung perlawanan, namun ia tidak cukup untuk menghalang kemenangan Norway.

Penyerang Manchester City itu kini mengumpul empat gol daripada dua perlawanan di kejohanan tersebut, sekali gus terus memberi saingan kepada Lionel Messi yang meledak dua gol lebih awal pada hari yang sama bagi mencatat rekod 18 gol dalam sejarah Piala Dunia. Kylian Mbappe turut menjaringkan dua gol ketika Perancis menewaskan Iraq 3-0.
Norway yang hanya tewas sekali dalam 18 perlawanan terakhir bakal berdepan Perancis bagi menentukan juara kumpulan dalam perlawanan yang dijadual berlangsung di Boston pada Jumaat ini.
Sementara itu, Senegal perlu menewaskan Iraq, yang masih gagal mengutip sebarang mata, dalam perlawanan terakhir kumpulan sekiranya mahu mengelakkan penyingkiran awal.

Diketuai Haaland yang terus mempamerkan ketajaman di hadapan gawang, Norway mencatat kemenangan berturut-turut di Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah penyertaan mereka. Penyerang berusia 25 tahun itu kini telah menjaringkan 59 gol antarabangsa dalam 52 penampilan bersama skuad kebangsaan.
Kemenangan tersebut mengukuhkan keyakinan bahawa Norway berupaya mencipta kejutan pada kejohanan kali ini selepas mempamerkan aksi meyakinkan menentang Senegal yang banyak dihukum akibat kesilapan sendiri.
Norway memulakan perlawanan dengan agresif apabila tandukan Kristoffer Ajer memaksa penjaga gol Senegal, Edouard Mendy, melakukan tindakan menyelamat cemerlang menggunakan kaki hasil sepakan penjuru. Bagaimanapun, mereka kehilangan pertahanan kanan, Julian Ryerson, akibat kecederaan pada awal permainan.
Kapten Norway, Martin Odegaard, turut mensia-siakan peluang terbaik apabila rembatannya tersasar tinggi selepas menerima hantaran lintang rendah dari sebelah kanan. Pada masa sama, Nicolas Jackson muncul sebagai ancaman utama Senegal.
Mendy sekali lagi menyelamatkan pasukannya apabila menafikan percubaan Odegaard selepas Haaland bijak mengawal hantaran lambung Antonio Nusa ke dalam kotak penalti.
Namun demikian, Mendy gagal menghalang rembatan rendah Pedersen daripada menerjah gawang selepas kesilapan besar kapten Senegal, Kalidou Koulibaly, yang kehilangan penguasaan bola berhampiran kotak penalti.
Haaland hampir menambah jaringan apabila percubaannya dari sudut sempit terkena tiang gol selepas Mendy gagal mengawal keadaan dengan baik. Namun, beliau tidak menunggu lama untuk menebus kekecewaan tersebut.
Tiga minit selepas separuh masa kedua bermula, Norway melancarkan serangan balas pantas apabila Odegaard melakukan larian menarik sebelum melorongkan bola kepada Haaland yang tenang menewaskan Mendy untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Gol tersebut menambah koleksi jaringan Haaland selepas beliau turut menjaringkan dua gol ketika Norway menewaskan Iraq 4-1 dalam perlawanan pembukaan.
Senegal kembali menghidupkan peluang apabila Sarr mempamerkan ketenangan untuk menyempurnakan peluang yang terhasil menerusi hantaran bijak Sadio Mane di dalam kawasan penalti.
Bagaimanapun, Koulibaly sekali lagi melakukan kesilapan apabila gagal mengeluarkan bola dengan kemas, sekali gus membolehkan Haaland menyempurnakan sepakan voli yang terkena palang sebelum menerjah masuk hasil hantaran Patrick Berg.
Mory Diaw kemudian menggantikan Mendy yang mengalami kecederaan, namun tindakan pantas Pathe Ciss mengeluarkan bola di garisan gol menghalang Oscar Bobb daripada menjaringkan gol keempat Norway.
Sarr menjaringkan gol kedua peribadinya bagi menghidupkan semula harapan Senegal dan mencetuskan aksi mendebarkan pada penghujung perlawanan.
Namun begitu, Norway berjaya mempertahankan kelebihan yang dimiliki untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya bersama Perancis, manakala peluang Senegal untuk meneruskan saingan kini semakin tipis. – AFP