‘Gus’, rangka T. rex dijual pada harga rekod AS$50.1 juta di lelongan AS

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

GUS, rangka Tyrannosaurus rex (T. rex) yang dipasang dan merupakan antara spesimen T. rex terbesar pernah ditemukan, dilihat semasa pratonton media di bangunan Sotheby’s Breuer di New York pada 1 Julai 2026. Foto AFP

NEW YORK, Amerika Syarikat: Rangka fosil Tyrannosaurus rex (T. rex) yang digelar “Gus” dijual pada harga AS$50.1 juta dalam lelongan yang diadakan di Sotheby’s, New York semalam, sekali gus menjadi fosil dinosaur paling mahal pernah dijual menerusi lelongan selepas pertarungan bidaan selama 10 minit membabitkan tujuh pembida.

“Gus” merupakan antara rangka T. rex paling lengkap di dunia dengan memiliki 183 tulang yang telah menjadi fosil. Fosil itu ditemukan di sebuah ladang penternakan lembu di South Dakota pada tahun 2021.

Haiwan gergasi itu hidup sekitar 72 juta hingga 66 juta tahun lalu, iaitu pada zaman yang dicirikan oleh iklim panas, paras laut yang tinggi serta dataran pantai yang luas dan sering dilanda banjir.

Rangka fosil itu berukuran 38 kaki (11.6 meter) panjang, menjadikannya antara spesimen T. rex terbesar yang pernah ditemukan. Secara keseluruhan, rangka tersebut dianggarkan 63 peratus lengkap.

Pembelian oleh seorang pembida tanpa nama itu menyerlahkan peningkatan permintaan terhadap fosil dinosaur di pasaran. Namun, trend tersebut turut mengundang kritikan daripada sebahagian ahli paleontologi yang bimbang spesimen berharga itu akan menjadi milik persendirian.

“Amerika Syarikat merupakan satu-satunya negara di dunia yang menganggap fosil seperti ini sebagai harta persendirian,” kata Ketua Bahagian Sains dan Sejarah Alam Sotheby’s, Cassandra Hatton, kepada AFP sebelum lelongan berlangsung.

“Jika anda memiliki tanah tersebut, anda memiliki fosil itu dan berhak menjualnya. Jadi, jika anda mahu memiliki dinosaur, inilah satu-satunya tempat untuk mendapatkannya,” katanya.

Sebelum ini, rekod jualan fosil dalam lelongan dipegang oleh rangka Stegosaurus yang dikenali sebagai “Apex”, yang dibeli pada harga AS$44.6 juta pada 2024 oleh bilionair dana lindung nilai, Ken Griffin. – AFP

Dua maut dalam nahas helikopter di Kanada

VANCOUVER: Dua maut pada Selasa selepas sebuah helikopter terhempas di kawasan terpencil di luar pantai British Columbia, Kanada, menurut media tempatan,