
BINTANGOR: Guru merupakan tonggak utama dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing, justeru jasa dan pengorbanan mereka wajar terus dihargai oleh seluruh masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, tema Hari Guru 2026, “Guru Bitara, Nadi Negara” amat bertepatan kerana mengiktiraf peranan guru sebagai pemacu utama pembangunan modal insan dan masa depan negara.
“Guru bukan sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan, malah berperanan membentuk sahsiah, nilai murni dan jati diri murid agar menjadi insan yang berguna kepada masyarakat dan negara.
“Setiap kejayaan yang dicapai oleh seseorang individu tidak dapat dipisahkan daripada peranan serta bimbingan guru yang sentiasa memberikan dorongan, tunjuk ajar dan sokongan sepanjang proses pembelajaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis Jasamu Dikenang sempena Hari Guru 2026 anjuran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yong Kwong, baru-baru ini.
Katanya, profesion perguruan merupakan satu kerjaya yang amat mulia kerana para guru sentiasa berkorban masa, tenaga dan komitmen demi memastikan anak-anak didik menerima pendidikan yang terbaik.
“Sumbangan para guru mungkin tidak sentiasa mendapat perhatian, namun jasa mereka telah melahirkan ramai individu cemerlang yang menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.
“Justeru, saya berharap budaya menghargai dan menghormati guru akan terus dipupuk kerana mereka merupakan insan yang memainkan peranan besar dalam mencorakkan masa depan generasi muda,” katanya.
Pada majlis tersebut, beliau turut mengumumkan geran khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM3,000 kepada SJKC Yong Kwong bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dan pembangunan sekolah
Koung Hiing berharap sumbangan itu dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi meningkatkan lagi kualiti program sekolah dan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif untuk warga sekolah.
Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengurus SJKC Yong Kwong, ABS Wong Khai Ching; Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC Yong Kwong, Sio Chik Kong; Guru Besar SJKC Yong Kwong, Ha Ting Hie; dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Tang King Hock.
Oleh Earl Anek