
JAKARTA: Gunung Semeru di Indonesia meletus lima kali pada pagi tadi, menghamburkan abu gunung berapi sehingga 1,000 meter dari puncak.
Pegawai Pos Pemerhatian Gunung Semeru, Sigit Rian Alfian berkata letusan berlaku antara 1.05 pagi hingga 8.37 pagi waktu tempatan, dengan letusan terbesar direkodkan pada 6.28 pagi.
Sigit berkata letusan terbesar itu menghamburkan abu sehingga kira-kira 1,000 meter dari puncak, dengan kepulan abu bergerak ke arah barat daya dan barat.
“Letusan itu direkodkan pada seismograf dengan amplitud antara 12 milimeter hingga 22 milimeter dan tempoh antara 109 hingga 142 saat,” katanya menurut agensi berita Antara hari ini.
Semeru, yang terletak di sempadan daerah Lumajang dan Malang di Jawa Timur merupakan gunung berapi tertinggi di Pulau Jawa, dengan ketinggian 3,676 meter dari paras laut.
Sigit berkata aktiviti gunung berapi Semeru kekal pada Tahap III, iaitu tahap kedua tertinggi dalam sistem amaran gunung berapi empat peringkat Indonesia. – Bernama