
JAKARTA: Gunung Lewotobi yang terletak di wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia meletus lewat malam Khamis dan berlanjutan hingga pagi Jumaat, menyebabkan pihak berkuasa menaikkan status amaran ke tahap tertinggi.
Menurut laporan Xinhua, letusan itu menghamburkan abu setinggi 8,000 meter sebelum tengah malam Khamis, dengan asap kelabu kehitaman tersebar ke arah barat daya dan barat.
Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi menaikkan status amaran gunung berapi itu ke tahap IV, iaitu tahap amaran tertinggi sejak Khamis.
Notis Pemerhatian Gunung Berapi untuk Penerbangan (VONA) juga dikeluarkan pada tahap merah, melarang pesawat daripada melakukan penerbangan di bawah ketinggian 6,000 meter di sekitar kawasan itu.
Pesawat juga dinasihatkan untuk berwaspada terhadap abu gunung berapi yang boleh mengganggu penerbangan.
Sejak Khamis, zon bahaya telah diperluaskan dengan radius sekitar kawah meningkat dari tujuh kepada lapan kilometer di bahagian barat daya dan barat laut, manakala kawasan lain diperluaskan dari lima kepada tujuh kilometer.
Penduduk di kawasan terjejas juga disarankan memakai pelitup muka untuk melindungi diri daripada masalah berkaitan pernafasan. Gunung Lewotobi, dengan ketinggian 1,584 meter merupakan satu daripada 127 gunung berapi aktif di Indonesia. – Bernama