TOKYO (Jepun), 1 November: Seekor kucing, seekor anjing baka Shiba Inu dan beberapa ekor anjing Yorkshire Terrier menerima upacara pemberkatan daripada seorang pendeta Shinto di sebuah kuil di Tokyo, dalam ritual yang lazimnya dikhususkan untuk kanak-kanak.
Sambil membaca doa dan menghayunkan tongkat kayu, pendeta berkenaan menjalankan upacara itu sempena festival tahunan Shichi-Go-San, yang secara harfiah bermaksud ‘Tujuh-Lima-Tiga’.
Secara tradisinya, festival berkenaan diraikan oleh keluarga di Jepun bagi meraikan tumbesaran anak-anak yang berusia tiga, lima dan tujuh tahun.
Bagaimanapun, ketika Jepun berdepan penyusutan penduduk, semakin ramai pemilik haiwan peliharaan membawa haiwan kesayangan mereka menyertai upacara tersebut.

“Saya datang ke sini untuk mendoakan agar haiwan peliharaan saya membesar dengan sihat dan sentiasa berada dalam keadaan baik,” kata seorang doktor berusia 46 tahun, Shoko Kodama, kepada AFP di Kuil Shinto Ichigaya Kamegaoka Hachimangu di ibu negara Jepun itu.
Kodama berkata, beliau menghabiskan masa selama dua bulan untuk menjahit sendiri kimono merah terang yang direka khas buat kucingnya, Amber, seekor British Shorthair berusia lima tahun.
“Si kecil ini sudah seperti anak saya sendiri. Kehadirannya sahaja sudah cukup untuk membuatkan segala perkara yang tidak menyenangkan dalam hidup seolah-olah hilang,” katanya.
Di luar kuil, pemilik haiwan peliharaan lain turut mengenakan kimono berwarna-warni pada haiwan kesayangan masing-masing sebelum merakam gambar sebagai kenangan sempena sambutan istimewa itu.
Haiwan berkenaan kemudian dibawa masuk ke ruang suci kuil, tempat pendeta Kenji Kaji menjalankan upacara penyucian menggunakan tongkat yang dihiasi jalur kertas putih.
Kaji berkata, peranan haiwan peliharaan dalam kehidupan masyarakat Jepun semakin berubah seiring perubahan struktur keluarga di negara itu yang sedang berdepan masalah penuaan penduduk dan kadar kelahiran rendah.
“Saya berpendapat semakin ramai individu yang tidak mempunyai anak atau sudah selesai membesarkan anak memilih untuk menerima anjing atau kucing sebagai ahli keluarga,” katanya kepada AFP.
Menurut Kaji, kuil berkenaan menerima kira-kira 400 keluarga bagi setiap penganjuran festival itu sejak awal 2000-an susulan permintaan daripada pemilik haiwan peliharaan.

Seorang pemilik dua ekor Yorkshire Terrier, Miyu Shiro, 23, berkata, meraikan festival tersebut bersama anjing peliharaannya merupakan sesuatu yang dianggap lumrah.
“Mereka sebahagian daripada keluarga kami,” katanya sambil merakam gambar kedua-dua anjingnya yang disisir rapi dan dihiasi penyepit rambut berbentuk bunga.
Data yang dikeluarkan pada Jun menunjukkan kadar kesuburan Jepun terus merosot tahun lalu sehingga mencatatkan paras terendah dalam sejarah, sekali gus menyerlahkan krisis demografi yang membelenggu ekonomi keempat terbesar dunia itu.
Menurut Bank Dunia, Jepun mempunyai umur median penduduk 49.9 tahun, menjadikannya negara dengan populasi kedua tertua di dunia selepas negara kota Monaco.
Sementara itu, Koichi Ohara, 57, yang menghadiri festival berkenaan bersama isteri dan rakan-rakannya, berkata tiga ekor anjing Chihuahua peliharaannya memberikan kasih sayang tanpa syarat.
“Mereka lebih manja berbanding anak manusia. Mereka juga mendengar apa yang kami katakan,” katanya sambil ketawa, sebelum menjelaskan bahawa beliau turut mempunyai tiga orang anak.
“Sama seperti manusia, saya berharap mereka dapat hidup panjang umur dan dalam keadaan aman,” katanya.– AFP




