ROM: Ribuan pelancong terkandas di Pulau Sicily, Itali pada Selasa apabila Gunung Etna terus memuntahkan kepulan abu susulan letusan minggu lalu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Keadaan itu menyebabkan operasi penerbangan di Lapangan Terbang Catania, lapangan terbang terbesar di pulau itu yang terletak di selatan Gunung Etna, terjejas apabila hanya sebilangan kecil pesawat dibenarkan berlepas dan mendarat.
Hanya sebuah pesawat dapat berlepas bagi penerbangan domestik pada awal Selasa manakala semua pendaratan digantung sehingga petang.
Gunung berapi paling aktif di Eropah itu memuntahkan sejumlah besar abu dan batu panas sejak Jumaat. Menurut Institut Geofizik dan Vulkanologi Kebangsaan Itali (INGV), aliran lava tebal keluar dari dua kawah pada ketinggian 2,360 dan 2,750 meter.
Pada waktu malam, satu kawah baharu terbentuk pada ketinggian kira-kira 1,900 meter.
Gunung Etna yang berketinggian lebih 3,300 meter dari aras laut dipantau rapi berikutan letusannya yang kerap.
Gangguan trafik udara kini memasuki hari kelima ketika musim puncak, dengan pihak berkuasa penerbangan membuat keputusan mengenai pergerakan penerbangan dalam tempoh singkat. Lapangan Terbang Catania kini berada pada tahap amaran merah tertinggi.
Penumpang cuba beralih ke Lapangan Terbang Palermo. Dianggarkan 30,000 orang kini terjejas. Ramai pelancong di Sicily terpaksa melanjutkan tempoh penginapan mereka kerana penginapan di pulau itu ditempah sepenuhnya. Sebahagian daripada mereka tidur di lapangan terbang.
Pelakon Itali Filippo Lagana memuat naik hantarannya di Instagram bahawa sebuah bas ulang-alik dari Catania ke Palermo mengenakan bayaran €700 (AS$807) bagi perjalanan sejauh kira-kira 200 kilometer. Perkhidmatan kereta api ke ibu kota, yang Amenawarkan akses lebih mudah untuk penerbangan antarabangsa, pula mengalami kesesakan luar biasa.
Enjin pesawat yang banyak ditempatkan di landasan di Catania perlu dilindungi manakala landasan pula berulang kali dibersihkan. Lebih 12 juta penumpang menggunakan Lapangan Terbang Catania setiap tahun.- Bernama-dpa





