JAKARTA: Gunung Dukono, di wilayah Maluku Utara, timur Indonesia meletus hari ini, sekali gus mencetuskan amaran penerbangan, menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi negara itu, lapor Xinhua.
Letusan dilaporkan pada jam 9.43 pagi waktu tempatan, memuntahkan awan mengandungi abu tebal berwarna putih hingga kelabu setinggi 4,600 meter ke udara. Awan itu dikesan bergerak ke arah barat laut gunung berkenaan.
Pesawat dilarang terbang pada ketinggian di bawah lima kilometer di sekitar kawasan gunung berapi yang terletak di Pulau Halmahera.
Notis Balai Cerap Gunung Berapi berwarna oren untuk status penerbangan telah dikeluarkan.
Pendaki dan penduduk dilarang sama sekali melakukan aktiviti dalam radius tiga kilometer dari kawah manakala penduduk dinasihatkan sentiasa memakai pelitup muka.
Gunung Dukono setinggi 1,087 meter dari paras laut, merupakan satu daripada 127 gunung berapi aktif di Indonesia. – BERNAMA-XINHUA