BERINSPIRASIKAN kebolehan ibunya, mulanya hanya sekadar hobi
sejak kecil, akhirnya hobi tersebut mampu menjana pendapatan hasil daripada gubahan bunga orkid artifisial.
Siti Samsiah Salleh berkata, dia mendapat inspirasi gubahan bunga daripada ibunya dan kakaknya yang gemar dengan dekorasi serta gubahan bunga, malah dia mengembangkannya ke bidang perniagaan.
Siti menghasilkan pelbagai jenis gubahan kraf tangan orkid yang unik untuk perhiasan kediaman mahupun dulang bagi majlis perkahwinan.
Dia kini bergelr usahawan tempatan mampu menarik nafas lega apabila produknya semakin dikenali oleh masyarakat luar.
Sentuhan De’Lela Len diberi berdasarkan nama peninggalan ibunya.
Siti akui dia kini semakin sibuk memenuhi tempahan apabila hasil kreativitinya dapat memenuhi kehendak pelanggan dan mendapat perhatian dari orang luar.
“Minat dengan gubahan bunga-bungaan terutamanya orkid bermula sejak kecil kerana ibu saya merupakan seorang penggemar gubahan bunga.
“Pada mulanya, semua produk kraf tangan yang dihasilkan ini dibuat untuk ‘suka-suka’ saja. Kemudian, saya mula menceburi bidang pernigaan dengan mempamerkan gubahan bunga di laman media sosial seperti Facebook dan Instagram.
“Oleh kerana permintaan memberangsangkan, saya mula mengambil tempahan dengan menjadikan gubahan bunga ini punca pendapatan,” katanya.
Menurutnya, menyunting keserian dekorasi rumah dengan bunga-bungaan artifisial seperti orkid mampu mengangkat keserlahan dekorasi, reka letak bunga hiasan yang kelihatan menyamai bunga segar sudah cukup membuatkan suasana tampil menarik dan selesa.
“Orkid popular dengan keindahannya dan terbukti dapat menaikkan aura positif sekali gus mendamaikan persekitaran.
“Sama ada bunga segar atau gubahan hiasan, orkid turut digemari ramai kerana kuntuman bunganya yang menarik.
“Begitu juga dengan ruang dalaman yang turut berseri apabila gubahan orkid hiasan diketengahkan.
“Sekurang-kurangnya, gubahan orkid nampak eksklusif sesuai dengan penggemar dekorasi moden yang elegan,” katanya.
Menurutnya, gubahan orkid adalah mengikut kreativiti dan cita rasa masing-masing. Malah, ia juga booleh menghasilkan sendiri gubahan berkenaan termasuk pemilihan jenis orkid, pasu, cat jika ingin mengubah warna pasu dan span.
Beliau juga merancang untuk memperkembangkan hobi atau perniagaan beliau keseluruh Malaysia bahkan negara luar.
Oleh AMINAH WASLI