
PAKAN: Persatuan Gerempung Raban Pakan (GRP) akan menganjurkan majlis makan malam sempena pra-Gawai Dayak pada 9 Mei 2026 di Dewan Masyarakat Pakan sebagai usaha mengumpul dana bagi melaksanakan pelbagai aktiviti kebajikan dan pembangunan komuniti setempat.
Pengerusi GRP, Jerenang Jawa berkata, penganjuran majlis tersebut merupakan antara inisiatif berterusan persatuan sejak penubuhannya pada 2016 dalam memperkukuh peranan GRP membantu masyarakat di kawasan Pakan.
“Hasil mesyuarat jawatankuasa GRP baru-baru ini, kami bersetuju mengadakan majlis makan malam bagi meraikan Gawai Dayak.
“Hasil daripada majlis ini akan digunakan oleh kami (GRP) untuk menjalankan aktiviti membantu masyarakat di Pakan dan ini selaras dengan misi dan objektif GRP yang ditubuhkan sejak 2016,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, majlis tersebut turut merangkumi penyampaian insentif pendidikan kepada anak-anak ahli GRP yang berjaya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan mereka yang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sebagai galakan kepada kecemerlangan akademik.
“Justeru, kita memerlukan dana untuk menggalakkan anak-anak kita berjaya di sekolah dan semoga bantuan melalui insentif ini menjadi pembakar semangat kepada masyarakat Pakan untuk berjaya dalam pendidikan.
“Cabutan bertuah turut diadakan dan cenderamata diberikan kepada ahli GRP sebagai menghargai jasa mereka membantu memartabatkan persatuan,” katanya.
Tambahnya, majlis makan malam tersebut juga dijangka menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat selain memperkukuh semangat perpaduan menjelang sambutan perayaan Gawai Dayak.
Sehubungan dengan itu, orang ramai yang berminat menyokong penganjuran majlis tersebut boleh menempah meja pada harga RM600 setiap satu dengan menghubungi Jerenang Jawa di talian 014-3713875, Johny Banyang (013-8944828), Thomas Jain (013-8068408), Jetif Sikos (019-8277587) atau Stephen Fung Kok Fah (019-8381631).
Oleh Earl Anek