LAWAS: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus membela golongan miskin yang memerlukan bantuan membaik pulih rumah dan bina baharu melalui inisiatif program MRP-PPRMS.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah melihat keperluan untuk terus membantu golongan kurang berkemampuan ini agar mereka dan keluarga dapat menikmati kehidupan selesa bagi meneruskan usaha membangunkan diri dan keluarga.
Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang telah mengurang dan menghentikan program membaik pulih dan bina baharu rumah rakyat termiskin jelas sebagai mempolitikkan kehidupan rakyat hingga golongan miskin terus teraniaya, katanya.
Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian Dan Menteri Pembangunan Usahawan, menjelaskan Abang Johari telah setuju memberikan peruntukan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS untuk meneruskan program membela golongan miskin melalui program MRP-PPRMS itu.
Malah peruntukan itu dipanjangkan kepada Ahli Parlimen GPS dalam usaha membela rakyat miskin agar memiliki kediaman yang selamat dan selesa, tegas beliau.
Beliau yang juga ADUN Bukit Sari menegaskan, bantuan MPR-PPRMS untuk daerah Lawas khususnya DUN Bukit Sari diurus oleh Pusat Khidmat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bukit Sari bersama Pejabat Daerah dan agensi teknikal lainnya.
Melalui Fasa Pertama projek ini pada 2018 menyaksikan 46 buah rumah telah dibaiki dengan kos RM500,000.
Manakala Fasa Kedua dilaksana pada 20 Januari 2019 hingga 27 Mei 2019 berjaya membaik pulih 50 buah rumah dengan kos RM500,000.
Fasa Ketiga bermula 10 Julai 2019 hingga 16 Januari 2020 untuk DUN Bukit Sari berjaya membaik pulih 51 buah rumah dengan kos sama.
Fasa keempat yang bermula 10 Februari 2020 hingga 9 Ogos 2020, menyaksikan 20 buah rumah dibaik pulih 100 peratus dan 12 buah lagi dalam pelaksanaan kerja membaik pulih.
Semasa PKP lalu, program itu telah ditangguhkan dan keseluruhannya Awang Tengah amat berpuashati dengan pelaksanaan MRP-PPRMS di Bukit Sari.
Beliau menjelaskan program murni itu akan diteruskan dan Ketua Menteri bersetuju memperuntukkan RM1 juta setahun untuk setiap ADUN GPS bagi melaksanakan program MRP-PPRMS di seluruh Sarawak.
Pada masa sekarang, kerajaan pusat di bawah Perikatan Nasional (PN) berhasrat untuk menghidupkan semula program ini.
Namun demikian, satu mekanisme bagi pelaksanaannya akan dikaji agar tidak bertindih dengan program MRP-PPRMS yang sedia ada.
Awang Tengah bersama ADUN Batu Danau, Paulus Palu Gumbang melakukan gimik perasmian MRP-PPRMS Fasa keempat di Kampung Bangkatan Merapok untuk membaik pulih rumah milik Awangku Abdul Wahab Awangku Mohammad semalam.
Hadir sama Ahli MKT Parti PBB Sarawak, Awangku Jinal Abidin Pengiran Jawa, Timbalan Residen Bahagian Limbang, Sebi Abang, Pengarah NRDA, Datu Ubaidillah Abdul Latip, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok, Setiausaha Pusat Khidmat Parti PBB Bukit Sari, Awang@Ibrahim Ahmad dan Pengerusi Teknikal MRP-PPRMS Pusat Khidmat Parti PBB Bukit Sari, Puasa Pandin.