KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) sedia berdepan sesiapa sahaja calon pembangkang yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November nanti.
Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sebagai negara mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, sesiapa pun boleh bertanding.
“GPS meletakkan calon di semua 31 kerusi Parlimen dan kita bersedia untuk menghadapi apa juga kemungkinan yang bakal berlaku,” katanya selepas merasmikan Dapur Sarawak dan Gerai Industri Kecil Sederhana (IKS) sempena Regata Sarawak di Tebingan Kuching, hari ini.
Mengenai tindakan hasrat Parti Sarawak Bersatu (PSB) meletakkan Setiausaha Agungnya, Baru Bian untuk bertanding di kerusi Parlimen Lawas, beliau berkata ia terpulang kepada parti pembangkang itu.
“Itu terpulanglah, kita mengamalkan demokrasi, negara demokrasi, sesiapa pun boleh bertanding.
“Berhubung tindakan calon pembangkang bertukar (kerusi) Parlimen untuk bertanding, itu terpulang kepada mereka,” katanya.
Sebelum ini, Presiden PSB, Wong Soon Koh menyatakan Baru tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Selangau yang dimenanginya pada PRU-14 atas tiket PKR, sebaliknya bertanding di Lawas.
Awang Tengah yang juga Timbalan Premier Sarawak mengulangi bahawa GPS menyasarkan untuk menang semua 31 kerusi Parlimen.
“Bukan sahaja di (Parlimen) Lawas, malah kami akan memastikan kemenangan besar di seluruh Sarawak,”katanya ketika ditanya sama ada GPS akan memenangi kerusi Parlimen Lawas,”katanya.
Ketika ditanya media sekiranya ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan bertanding di kerusi Parlimen, beliau berkata tunggu pengumuman Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam masa terdekat.
“Kita tunggulah nanti semasa pengumuman calon oleh Premier,” katanya.