JULAU: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) merancang dan menyediakan lebih banyak program pembangunan di kawasan Parlimen Julau yang meliputi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakan dan Meluan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana dua-dua kawasan terbabit adalah sebahagian daripada Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) yang mempunyai beberapa perancangan projek yang akan memberi kesan kepada pembangunan secara menyeluruh di situ.
“Kedua-dua wakil rakyat di kawasan Julau ini iaitu Tan Sri William Mawan (Pakan) dan Roland Duat (Meluan) telah mencadangkan beberapa projek yang akan mengubah landskap yang ada di Julau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Pemimpin Bersama Rakyat di sini hari ini.
Katanya, sektor pertanian rancak di sini di Julau khasnya dari sudut pengeluaran lada dan apabila pendapatan bertambah sudah tentu tahap kehidupan akan meningkat.
“Tadi Yang Berhormat (Roland Duat) meminta supaya diwujudkan stesen minyak kerana nampaknya kereta sudah bertambah di Julau, ini menunjukkan taraf kehidupan yang baik di kawasan Julau,” katanya.
Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata mesti ada kerjasama erat di antara negeri dan persekutuan melalui Ahli Parlimen yang mewakili kerusi Parlimen Julau ini.
“Julau telah kehilangan satu penggal dari sudut perancangan yang menyeluruh untuk kawasan ini.
“Saya harap kita di peringkat GPS akan mempunyai pendekatan yang konduksif iaitu satu kumpulan yang kuat untuk kita bersama persekutuan bagi untuk pembangunan di kawasan ini,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari meluluskan peruntukan RM74 juta untuk projek bekalan air di kawasan Julau dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) akan melakukannya.
Selain itu, Abang Johari turut meluluskan pembinaan stesen minyak, dewan dan projek tebingan sungai di Julau.
“Saya meluluskannya kerana ada wang, saya tahu projek ini (bekalan air) lama sudah, rakyat menunggu lama. Hari ini, kerajaan Sarawak membuatnya, kita tidak dapat bergantung dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB),” katanya.
Pada majlis itu, Abang Johari turut menyempurnakan penyampaian sijil pelantikan dan pelantikkan semula Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), Geran Pelancaran Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Bantuan Mikro Ketua Isi Rumab Wanita Sarawak dan Bantuan Ibu Bersalin.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom, ADUN Meluan, Roland Duat Jubin, calon GPS Parlimen Julau, Datuk Joseph Salang Gandum serta yang lain.
Oleh AKUN GIMAN