
SIBU: Kekuatan dan perpaduan parti-parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah memainkan peranan penting dalam menentukan kestabilan politik negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, GPS menjadi antara penentu utama pembentukan Kerajaan Persekutuan ketika negara berdepan ketidaktentuan politik selepas peletakan jawatan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Dalam kata lain, komponen politik yang bersatu akan menentukan masa depan Malaysia. Disebabkan kekuatan kita, mereka mesti mendapatkan sokongan GPS untuk membentuk kerajaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tiga Tahun sekali Parti Demokratik Progresif (PDP) 2026, di salah sebuah hotel terkemuka, di sini hari ini.
Abang Johari berkata, perjuangan GPS berteraskan semangat mempertahankan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), seperti yang dimulakan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan diteruskan oleh beliau bersama parti-parti komponen GPS.

“Kita tidak mahu lebih dan tidak mahu kurang, tetapi kita mahu apa yang telah dipersetujui oleh pemimpin terdahulu direalisasikan sepenuhnya,” katanya.
Beliau turut mengimbau situasi politik negara ketika pembentukan Kerajaan Persekutuan selepas peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad, apabila Istana Negara mendapatkan pandangan GPS mengenai calon Perdana Menteri.
Menurutnya, GPS ketika itu menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum kemudiannya menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan seterusnya pembentukan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas PRU15.
“Apabila Agong (Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) meminta kerajaan perpaduan dibentuk, kita akur dan menyokong demi kestabilan negara,” katanya lagi.
Abang Johari menegaskan bahawa kekuatan ekonomi Sarawak membolehkan kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai dasar inklusif termasuk pendidikan tinggi percuma untuk rakyat Sarawak.
Katanya, kemudahan pendidikan percuma itu diberikan kepada semua rakyat Sarawak tanpa mengira kaum atau agama selagi memiliki kad pengenalan ‘K’.
“Tidak Melayu sahaja, tidak Iban sahaja atau Melanau sahaja, tetapi semua rakyat Sarawak menikmati manfaat ini,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, kejayaan Sarawak meningkatkan hasil negeri turut membolehkan kerajaan menubuhkan dana kekayaan berdaulat (sovereign fund) sebagai simpanan untuk generasi masa depan.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menekankan kepentingan transformasi ekonomi menerusi ekonomi digital, tenaga hijau dan teknologi hidrogen bagi memastikan Sarawak kekal berdaya tahan menghadapi perubahan global.
Menurutnya, langkah kerajaan Negeri menukar penggunaan generator diesel kepada tenaga solar di kawasan pedalaman sebelum ini terbukti membantu rakyat ketika berlaku ketidaktentuan harga minyak dunia.
Beliau juga optimis teknologi hidrogen akan menjadi sumber tenaga masa depan apabila kos pengeluarannya semakin menurun.
Selain itu, katanya lagi, Sarawak kini turut memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi aeroangkasa, data dan kecerdasan buatan (AI) sebagai persediaan menghadapi ekonomi masa depan.
“Masa depan bergantung kepada data dan AI. Sebab itu kita mesti bersedia dari sekarang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Abang Johari mengingatkan rakyat Sarawak supaya terus bersatu dan tidak mudah dipengaruhi unsur yang boleh memecah-belahkan negeri.
“Kalau kita bersatu, tidak mungkin orang boleh memecahkan kita kerana bagi kita, Sarawak adalah yang pertama,” tegasnya.
Beliau mengucapkan tahniah kepada PDP atas kejayaan parti itu serta menghargai usaha semua parti komponen GPS dalam memperjuangkan agenda ‘Sarawak First’ demi masa depan generasi akan datang.
Turut hadir, Presiden PDP, Dato Sri Tiong King Sing, Timbalan Presiden PDP, Datuk Henry Jinep, Naib Presiden Kanan PDP, Datuk Dr Penguang Manggil, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Dato Sri John Sikie Tayai, Setiausaha Agung PRS, Dr Malcom Mussen Lamoh, wakil Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Michael Tiang Ming Tee serta yang lain.
Oleh Akun Giman