LAWAS: Gabungan Parti Sarawak(GPS) yang ditunjangi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) adalah ‘pasak’ kepada kekuatan Kerajaan Persekutuan.
Timbalan Pengerusi GPS, Datuk Awang Tengah Ali berkata keadaan politik negara yang sebelum ini terumbang-ambing berjaya distabilkan melalui sumbangan kekuatan GPS dalam membentuk kerajaan yang menumpukan kepada kesejahteraan rakyat.
“Pasal merujuk kepada kekuatan GPS yang terdiri daripada PBB sebagai tulang belakang yang turut membantu mengukuhkan keberadaan Kerajaan Perpaduan sekarang.
“Kestabilan politik negara pun banyak juga bergantung dengan kestabilan dan sokongan kita (GPS),” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan PBB Cawangan Bukit Sari di sini hari ini.
Awang Tengah yang juga Timbalan Premier Sarawak dan Timbalan Presiden PBB berkata berikutan kekuatan itu Sarawak diberi jawatan timbalan perdana menteri selain menteri dan timbalan menteri.
Katanya, ini menunjukkan komitmen GPS bagi memastikan politik negara stabil kerana ia penting bagi meningkatkan keyakinan pelabur.
Terdahulu dalam ucapannya, Awang Tengah melahirkan rasa terharu atas sokongan padu dan pengorbanan ahli PBB Cawangan Bukit Sari sejak beliau mula beliau menjadi wakil rakyat.
Menurutnya, ahli PBB Bukit Sari yang diterajuinya sejak awal telah menunjukkan komitmen tinggi, semangat kerjasama dan pengorbanan besar dalam memastikan jentera parti bergerak cemerlang.
Malahan kemenangan tanpa bertanding sebanyak dua kali dan kemenangan lainnya adalah atas kerja keras semua ahli PBB di Lawas.
Dalam perkembangan berkaitan, PBB Cawangan Bukit Sari Lawas menampilkan dua muka baharu untuk menerajui sayap Pergerakan Pemuda dan Wanita.
Durahman Salleh dipilih sebulat suara mengantikan bekas Ketua Pemuda PBB Cawangan Bukit Sari yang kini berada bersama jawatankuasa induk cawangan.
Aujinajian Garip pula dipilih mengantikan Dayangku Norli Pengiran Tajuddin untuk jawatan Ketua Wanita PBB Bukit Sari.
Oleh ADENG EDRUS