KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) secara tidak rasmi memenangi 21 kerusi Parlimen daripada 31 yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, prestasi kali ini sedikit meningkat berbanding PRU ke-14 apabila hanya berjaya memenangi 18 kerusi semasa bertanding di bawah tiket Barisan Nasional (BN).
Katanya, jumlah sebenar kerusi yang dimenangi Sarawak akan bertambah kepada 23 kerusi selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan keputusan bagi Parlimen Limbang dan Parlimen Baram kelak.
Kedua-dua Parlimen tersebut tidak dapat diketahui keputusan undian disebabkan masalah banjir.
“Saya selaku Pengerusi GPS hendak mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi di negeri ini yang telah membuat keputusan dalam PRU-15 ini.
“Kita tunggu dua kerusi itu dahulu, walaupun kalau diperhatikan jumlah undi yang sudah dikira dengan undi yang akan datang nampaknya kedua-kedua kerusi itu menyebelahi kepada GPS.
“Itu bergantung kepada keputusan SPR,” katanya dalam sidang media selepas pengumuman keputusan PRU-15 bagi Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam ini.
Setakat jam 11.55 malam, Parti Tindakan Demokratik (DAP) memenangi tiga kerusi di Parlimen Mas Gading, Bandar Kuching dan Sibu.
Parti Bangsa Malaysia (PBM) menang di Parlimen Julau manakala Perikatan Nasional menang di Parlimen Saratok.
Dalam hal lain, Abang Johari menyatakan bahawa beliau masih belum menerima sebarang panggilan dari mana-mana parti di Semenanjung Malaysia.
“Saya tidak ada butiran dari rakan kita di Semenanjung, mungkin akan terbentuknya kerajaan campuran,” katanya.
Mengenai kerusi Saratok, beliau berkata, GPS menjangkakan satu atau dua tetapi malangnya tidak menyelebahi GPS.
“Kita kena akur pengundi telah membuat pilihan dan keputusan. Memang kita berharap untuk menang tapi inilah lumrah dalam politik,” katanya.
Oleh Azreen Keria