MIRI: Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan melaksanakan pembinaan jalan alternatif menghubungkan Mulu ke Gunung Buda dan seterusnya menghubungkan daerah Limbang dan Lawas tanpa menjejaskan kelestarian alam semulajadi di kawasan berkenaan.
Jajaran alternatif itu lebih dekat berbanding jalan Sabah-Sarawak Link Road (SSLR) yang lebih jauh.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata demikian sewaktu majlis makan malam untuk delegasi dan perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kawasan Bukit Sari, Bukit Kota, Batu Danau dan Ba’kelalan di sebuah hotel terkemuka di Miri semalam selepas menghadiri Konvensyen Parti PBB Zon Utara 2020.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohd. Asfia Awang Nassar, Menteri Muda Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd. Naroden Majais, Menteri Muda Pemodenan Pertanian dan Tanah Adat, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia, Dato Henry Sum Agong, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Hasbi Habibollah dan ADUN Batu Danau, Paulus Palu Gumbang.
Jajaran baharu itu tidak akan melalui negara Brunei sebaliknya melalui jajaran daripada Mulu, Gunung Buda, Limbang dan Lawas yang turut meliputi jalan ke rumah panjang dan perkampungan di pedalaman kawasan utara Sarawak.
Beliau yang juga Timbalan Yang Di-Pertua Parti PBB yakin jajaran itu adalah jalan alternatif menghubungkan Bahagian Miri dan Limbang serta daerah Lawas.
Perkara ini telah dibincang dengan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang melihat kepentingan perhubungan dan keperluan rakyat di seluruh pelusuk Sarawak akan diberi perhatian sewajarnya.
Ini kerana jalan alternatif itu akan memudahkan perhubungan antara kawasan terpencil di Sarawak terjalin dengan dunia luar.
Beliau berharap agar rakyat terus menyokong GPS dalam menghadapi pilihan raya negeri mahupun pilihan raya umum bagi memastikan segala perancangan yang telah dan akan dilaksanakan dapat direalisasikan demi masa depan rakyat dan generasi akan datang.
Hanya GPS mampu mengotakan segala janji berbanding pihak lain yang terbukti selama 22 bulan gagal menunaikan segala janji manis mereka.
Sebaliknya kemunculan parti-parti baharu juga tidak menjamin mampu menunaikan segala yang dijanjikan kerana mereka lebih kepada politik peribadi.
Oleh itu, perpaduan, keharmonian rakyat Sarawak yang berbagai latar belakang, kaum, agama dan budaya perlu terus diperkukuhkan bersama GPS, tegas beliau.
GPS yang menjadi parti pemerintah akan terus memastikan kepentingan semua kaum dan keharmonian yang diwarisi sejak zaman nenek moyang rakyat Sarawak akan terus dijaga sebaiknya.
Sementara itu, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail menjelaskan jalan alternatif itu adalah perancangan jangka panjang kerajaan Sarawak sejak dahulu.
Ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana laluan bagi jajaran menghubungkan Limbang dan Lawas tanpa melalui negara Brunei telah lama wujud.
Justeru perkembangan semasa dan pengukuhan ekonomi menyaksikan jajaran itu kembali diberi fokus untuk menghubungkan kawasan pedalaman yang jauh dapat dijalin dengan kawasan bandar.
Kerajaan GPS sentiasa fokus apabila merancang dan melaksanakan sesuatu program.
Turut sama Setiausaha Eksekutif Parti PBB Sarawak, Datuk Awang Bujang Awang Antek, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Parti PBB, Kr Awangku Jinal Abidin Pengiran Jawa, Datuk Safri Datuk Abdillah, veteran-veteran parti PBB dan ahli jawatankuasa pengelola konvensyen Parti PBB Zon Utara Sarawak.
Oleh Adeng Edrus