KOTA SAMARAHAN: Jentera Wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Asajaya sudah bersedia dengan persiapan yang sangat rapi untuk menghadapi pilihan raya yang boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja.
Setiausaha Ranting Sebandi Matang, Suria Sapuan berkata Wanita GPS di Asajaya secara keseluruhannya komited dalam merangka strategi bagi menghadapi pilihan raya yang akan datang.
“Ahli Dewan Undangan (ADUN) dan Ahli Parlimen (MP) kami di sini sangat akrab dengan kami di akar umbi dan sering bersama-sama turun padang dalam apa jua aktiviti yang dijalankan.
“Mereka (ADUN dan MP) sering menganjurkan program yang bermaanfaat bagi memperkuatkan lagi daya tahan dari segi mental dan fizikal kami di sini,” katanya.
Di samping itu, Bendahari Wanita Ranting Sampun Gerunggang, Molly Willie Peter menzahirkan kesyukuran kerana Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Rabiah Wang yang prihatin dengan kesusahan rakyat di Asajaya.
“Banyak perubahan dan pembangunan yang sudah dilakukan di sini termasuk menyalurkan bantuan dalam kadar yang segera kepada golongan yang memerlukan terutamanya pada pandemik Covid-19 baru-baru ini,” tambahnya lagi.
Ahli Jawatankuasa Ranting Sebandi Matang, Noriah Yusup pula yakin dengan segala usaha yang ditonjolkan bukan sahaja oleh jentera Wanita, tetapi seluruh ahli dalam parti (GPS) di sini, Asajaya akan tetap menjadi kubu kuat GPS.
“Pemimpin GPS sangat jelas dengan setiap prinsip, perancangan dan tindakan yang diambil dalam menjaga hak keistimewaan dan kebajikan rakyat.
“Oleh itu, kami (Wanita GPS) di sini tidak akan berbelah bahagi untuk membanting tulang berjuang bersama kepimpinan demi kebaikan bersama,” ujar Noriah.
Terdahulu, Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato’ Sri Fatimah Abdullah hadir pada Program ‘Sarawak Kita Empun N.15 Asajaya’ di Dewan Suarah Kota Samarahan bagi mendekati dan beramah mesra dengan jentera Wanita GPS Asajaya di sini, semalam.
Hadir sama Timbalan Ketua Wanita PBB, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Bendahari Wanita PBB, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang.
Oleh Akmal Adib Yusup