DARO: Proses penghantaran sumbangan 500 bakul makanan kepada 10 jawatankuasa pengurusan masjid dan surau di sini, berjalan lancar semalam.
Sepuluh jawatankuasa pengurusan tersebut ialah Masjid Kampung Nangar, Masjid Tunku Abd Rahman, Masjid Kpg. Tebaang, Masjid Kpg. Pangtray, Masjid Kpg. Tengah, Masjid Kpg. Lemang Pek, Surau Kampung Itol, Surau Kpg. Panchor, Surau Kampung Badong dan Surau Kampung Baru Daro.
Sumbangan tersebut adalah untuk diagihkan kepada golongan asnaf sempena bulan Ramadan.
Biasanya setiap kali bulan Ramadan diadakan majlis berbuka puasa bersama tetapi tahun ini disebabkan PKP maka ia tidak dapat dilaksanakan.
Selain itu, turut disampaikan ialah sumbangan buah kurma daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad dan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.
Sumbangan buah kurma tersebut untuk disedekahkan kepada semua rumah sempena bulan Ramadan.
Safiee Ahmad turut menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 12 Mei depan.
Katanya, pematuhan itu penting bagi memutuskan rantaian virus Covid-19.