
SERIAN: Kawasan sekitar tebingan sungai Kampung Ampungan bakal berwajah baharu setelah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) memperuntukkan sebanyak RM1.67 juta bagi kerja-kerja naik taraf infrastruktur di kawasan tersebut.
Projek tersebut merangkumi pembinaan laluan bot, platform pendaratan, bumbung tempat letak kereta serta pemasangan lampu solar bagi menerangi kawasan sekitar, sekali gus memberi nafas baharu kepada kawasan yang berpotensi tinggi ini.
Bersempena pelaksanaan projek tersebut, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Dato’ Sri Roland Sagah Wee Inn hadir menyempurnakan majlis simbolik pecah tanah, hari ini.
Menurut beliau, projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Serian itu merupakan antara yang terbesar dan paling unik bagi tahun ini.
“Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada 25 Mei tahun hadapan. Ia bukan sahaja akan memperkukuh infrastruktur kampung, tetapi turut membuka peluang kepada kegiatan ekonomi seperti perikanan darat dan pelancongan,” katanya.
Beliau turut menambah, projek ini dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan taraf hidup penduduk setempat melalui pembukaan peluang perniagaan kecil dan sederhana.
Pada majlis sama, Roland turut menyentuh beberapa projek pembangunan lain di kawasan berkenaan, termasuk pembinaan astaka dan naik taraf padang bola sepak bernilai RM342,000 yang telah pun disiapkan.
Bagi projek-projek akan datang, beliau menyeru Ketua Kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta penduduk untuk terus memberi kerjasama kepada pihak JPS dan kontraktor agar pelaksanaan projek berjalan lancar.
Sementara itu, projek naik taraf Jalan Seroban/Ampungan ke Sebangkoi yang menelan kos RM5 juta turut diluluskan di bawah GKCDA dan dijangka dimulakan dalam masa terdekat.
Secara keseluruhan, pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur di DUN Tarat dijangka akan membawa perubahan positif kepada masyarakat tempatan dari segi kemudahan asas, ekonomi dan sosial.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai Tadbir Khas GKCDA Datu Ik Pahon Joyik, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Damian Rejek dan Niponi Undek, Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph serta tetamu jemputan lain. – UKAS