BANGI: Skuad gimnastik berirama Sarawak menghadiahkan pingat pertama buat kontinjen Bumi Kenyalang pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 selepas meraih gangsa dalam acara berpasukan, hari ini.
Pingat berkenaan disumbangkan Nichelle Kung Tze Xuan, Eliza Toh Ryui Ya, Clarissa Makena Ambok Joseph dan Shirley Chia Xin Shuen selepas mengumpul 170.950 mata keseluruhan.
Penolong Ketua Kontinjen (ACDM) Gimnastik Sarawak, Kho Teck Wan berkata, kejayaan itu cukup bermakna kerana ia menjadi pencapaian pingat pertama kontinjen Sarawak pada temasya kali ini.
“Semua ahli pasukan telah memberikan persembahan terbaik dalam usaha memburu pingat gangsa.


“Sudah tentu terdapat beberapa kesilapan kecil, namun kami tetap berjaya membawa pulang pingat,” katanya ketika ditemui TVS di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.
Mengulas persiapan pasukan, Teck Wan berkata disiplin tinggi atlet, khususnya dalam menjaga pemakanan selain pengurusan kecederaan, menjadi antara faktor utama yang membantu mereka merealisasikan sasaran.
Katanya, atlet gimnastik perlu memberikan perhatian lebih terhadap aspek pemakanan bagi memastikan tahap kecergasan dan prestasi mereka sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Berbanding atlet lain, atlet gimnastik perlu lebih mengawal pemakanan. Pemakanan mereka sangat terkawal dan mereka amat berdisiplin.
“Mereka juga berdepan dengan banyak kecederaan tetapi kami berjaya melaluinya,” katanya.
Beliau berkata, kehadiran jurulatih baharu pada tahun ini serta kerjasama erat semua pihak turut memberi suntikan positif kepada pasukan sepanjang persiapan menghadapi temasya berkenaan.
Sementara itu, Shirley Chia Xin Shuen menyifatkan kejayaan meraih gangsa itu sebagai satu pencapaian membanggakan, lebih-lebih lagi apabila ia hadir pada penampilan sulungnya di pentas Sukma.
Menurutnya, latihan intensif yang dijalani bersama pasukan sejak beberapa bulan lalu akhirnya membuahkan hasil.
“Saya berterima kasih kepada jurulatih, pasukan Sarawak, ibu bapa dan rakan-rakan kerana sentiasa menyokong saya sepanjang pertandingan ini,” katanya.
Dalam acara itu, Wilayah Persekutuan muncul juara selepas mengumpul 227.050 mata, manakala tuan rumah Selangor meraih perak dengan 214.350 mata.




