MARUDI : Ahli Dewan Undangan Negeri Mulu, Dato Gerawat Gala minta penduduk di kawasannya mempertahankan Poyut / Lubok Nibong sebagai kubu kuat Gabungan Parti Sarawak menjelang pilihan raya Negeri akan datang.
Katanya di bawah GPS lebih menjaminkan penduduk di situ berbanding parti lain yang banyak menaburkan janji.
Katanya, sudah terbukti GPS di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menunaikan janji.
Ketika dihubungi Utusan Sarawak, Gerawat selaku Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak menegaskan jika dibandingkan dengan Pakatan Harapan (PH) yang telah memerintah 22 bulan, mereka gagal menunaikan janji mereka.
Katanya semasa PRU14, Pakatan Harpan pernah berjanji untuk memberi 20 peratus royalti minyak dan gas kepada Sarawak dan memulangkan 50 peratus dari kutipan cukai kepada kerajaan malah menurunkan harga minyak dalam 24 jam selepas PH memerintah kerajaan pusat, namun semuanya tinggal janji..
Menyentuh projek RTP yang telah dilaksanakan, Gerawat menegaskan sebanyak RM4,315,200.00 telah diperuntukan untuk melaksanakan 12 projek RTP iaitu menembok tanah dan membuat banteng di Rh Ridap, pembinaan jalan simen di kampung Seberang Lubok Nibong dan pembinaan jalan R1 di kampung Lubok Nibong.
Dalam pada itu ujarnya, beliau sudah berkhidmat empat tahun sebagai wakil rakyat di Mulu dan beliau masih sanggup untuk meneruskan jika mendapat sokongan rakyat di kawasan Mulu.
“Beri saya peluang untuk berkhidmat lima tahun lagi kerana perjuangan saya untuk berkhimat kepada rakyat di kwasan Mulu dan Poyut / Lubok Nibong belum lagi selesai,” katanya.
Menurut Gerawat, GPS masih banyak lagi perancangan untuk membangunkan negeri ini yang mana GPS sentiasa mengutamakan rakyat.
Sementara itu menyentuh perkembangan Pandemic Covid-19, Gerawat menzahirkan terima kasih kepada semua Ketua Masyarakat dan Ketua-Ketua Kaum dan Kapitan dan barisan hadapan atas usaha mereka menjaga kampung-kampung dan kawasan masing-masing dari jangkitan Covid-19
“Kita perlu teruskan usaha ini sebab pandemic Covid-19 masih menular di negeri ini dan Negara-negara lain,” tambah Gerawat.
Oleh Jiku Juguong