
BARIO: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala menggesa generasi muda di Bario agar merebut segala peluang yang disediakan kerajaan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (SPANS), termasuk peluang biasiswa melalui Yayasan Sarawak serta peluang latihan melalui Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS).
Katanya, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, hal ini merupakan laluan untuk membina masa hadapan yang lebih cerah, dengan kerajaan menyediakan platform, namun kejayaan tetap bergantung pada usaha, disiplin dan kesungguhan diri sendiri.
Beliau menzahirkan tahniah kepada SPANS atas penganjuran program yang bermakna itu. Menurut beliau, inisiatif seperti ini membuktikan komitmen kerajaan Sarawak untuk memastikan peluang, pembangunan serta perkhidmatan awam disampaikan terus kepada rakyat di peringkat akar umbi, termasuk di kawasan pedalaman.
Menurutnya, Bario merupakan kawasan yang mempunyai identiti tersendiri, kekuatan luar biasa serta berpotensi besar untuk terus maju.
“Keindahan alam semula jadi, budaya masyarakat yang unik dan semangat rakyatnya merupakan aset yang sangat bernilai,” katanya ketika berucap semasa merasmikan program SPANS Bario Highlands Outreach 2026 yang berlangsung di Dewan Masyarakat Bario, Banjaran Kelabit Highlands, semalam.
Tambah beliau, kerajaan Sarawak akan terus komited memastikan akses pendidikan dipertingkatkan, peluang pekerjaan diperluas serta pembangunan dibawa ke kawasan luar bandar dan kawasan pedalaman seperti Bario.
Justeru, katanya, tiada siapa akan dipinggirkan daripada arus pembangunan negeri ini, dan beliau berharap agar usaha seperti ini terus memberi manfaat besar kepada rakyat.
Oleh Jiku Jugoung