
SIBU: Generasi muda digesa supaya mengubah persepsi lama yang melihat pekerjaan kerajaan sebagai satu-satunya laluan kerjaya.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebaliknya mereka harus berani menceburi bidang keusahawanan berasaskan teknologi baharu bagi memacu ekonomi masa depan Sarawak.
Katanya, landskap ekonomi global sedang berubah daripada kebergantungan kepada bahan api fosil kepada tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi hijau, justeru anak-anak Sarawak perlu bersedia menjadi peneraju dalam bidang tersebut.
“Persepsi lama ialah lepas sekolah bekerja dengan kerajaan. Tetapi dalam ekonomi baharu, kemajuan sesebuah negara bergantung kepada kekuatan sistem ekonominya dan peluang baharu yang diwujudkan.
“Saya mahu anak Sarawak menjadi usahawan dalam ekonomi baharu yang disokong teknologi digital, AI dan inovasi. Kalau Jack Ma, Bill Gates dan Jensen Huang boleh membina empayar teknologi, saya percaya anak Sarawak juga boleh melakukannya,” katanya sambil mendapat tepukkan gemuruh.
Beliau berkata demikian pada sesi Dialog Hari Sarawak 2026 di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini, petang ini.
Abang Johari memberitahu, Sarawak mempunyai kelebihan besar untuk menjadi peneraju ekonomi hijau menerusi kekayaan hutan hujan tropika yang berfungsi sebagai penyerap karbon, sekali gus membuka peluang menjana pendapatan melalui perdagangan karbon.
“Selain itu, Sarawak juga memiliki sumber tenaga boleh diperbaharui yang melimpah termasuk kuasa hidro, tenaga solar, biojisim dan gas asli rendah karbon yang mampu menyokong pembangunan industri masa depan,” ujarnya lagi.
Katanya, kerajaan Sarawak turut menyediakan pendidikan tinggi percuma dalam 64 program strategik termasuk bidang sains komputer, analisis siber, kimia dan aeroangkasa bagi melahirkan modal insan yang memenuhi keperluan ekonomi baharu.
“Jadi, gunakan peluang pendidikan percuma ini untuk menguasai teknologi. Mungkin suatu hari nanti kamu menjadi pencipta teknologi baharu atau usahawan bertaraf dunia,” katanya.
Abang Johari menegaskan, pembangunan pesat yang dinikmati Sarawak hari ini termasuk pembinaan jambatan ikonik, syarikat penerbangan sendiri dan pelbagai projek infrastruktur membuktikan negeri itu bukan lagi sebuah wilayah yang ketinggalan.
“Sarawak bukan lagi negeri di belakang. Anak Sarawak kini menerbangkan pesawat sendiri dan kita mampu bersaing di peringkat dunia.
“Saya yakin Sarawak boleh terus maju jika kita mempunyai kerajaan yang baik dan rakyat yang berani merebut peluang ekonomi baharu,” ujar beliau lagi.
Turut hadir, tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan yang juga Menteri Bertanggungjawab Sambutan Perayaan Hari Sarawak 2026, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta yang lain.
Oleh Akun Giman dan Tarani Lanting





