

GEORGE TOWN: Di sebalik pelbagai kempen kesedaran kesihatan saban tahun, penggunaan produk nikotin atau tembakau seperti rokok elektronik atau vape dan rokok konvensional dalam kalangan kanak-kanak serta remaja terus mencetuskan kebimbangan.
Vape, peranti yang dianggap alternatif kepada rokok kini semakin popular dalam kalangan golongan muda melalui pelbagai perisa menarik dan reka bentuk moden menimbulkan persoalan sama ada negara sedang berdepan ancaman kehilangan generasi muda kepada ketagihan nikotin.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) N.V. Subbarow berkata keadaan itu perlu dipandang serius kerana negara kini berhadapan risiko melahirkan generasi terperangkap dalam ketagihan nikotin pada usia semakin muda akibat ramai kanak-kanak dan remaja terjebak dengan penggunaan vape.
Selepas lebih 40 tahun berada di barisan hadapan kempen antimerokok negara dan pengalaman mengendalikan lebih 300 ceramah di sekolah, kolej dan universiti di seluruh negara, beliau berkata trend menunjukkan penggunaan vape dalam kalangan pelajar semakin meningkat.
Justeru, sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2026 esok, beliau berkata Malaysia harus mengambil tindakan berani dengan mengharamkan semua produk nikotin termasuk rokok, vape, produk tembakau dipanaskan dan kantung nikotin bagi melindungi generasi muda daripada ketagihan yang semakin membimbangkan.
“Selaras dengan tema Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2026 iaitu Menyingkap daya tarikan – mengatasi ketagihan nikotin dan tembakau, Malaysia mesti melindungi golongan mudanya daripada produk nikotin kerana kita memerlukan masa depan yang benar-benar bebas daripada generasi ketagihan nikotin,” katanya dalam temubual eksklusif sempena sambutan itu.
Subbarow berkata CAP turut meminta kerajaan untuk tidak berlengah berikutan lapan negara anggota ASEAN, iaitu Brunei, Kemboja, Laos, Myanmar, Singapura, Thailand, Timor-Leste dan Vietnam masih mengekalkan larangan terhadap penjualan serta import peranti merokok elektronik.
Berkongsi pengalaman berinteraksi dengan lebih 30,000 perokok dan pengguna vape dalam tempoh empat dekad, beliau berkata ramai pelajar yang ditemuinya menganggap vape sebagai sesuatu yang selamat kerana dipromosikan dengan pelbagai perisa buah-buahan dan pembungkusan yang menarik.
“Mereka percaya mengambil perisa buah-buahan tetapi tidak mengetahui kandungan sebenar di dalam perisa atau cecair itu, malah saya juga mengumpulkan sebanyak 100 jenis peranti vape serta perisa yang diberi pihak pentadbir sekolah,” katanya.
Ikon Antimerokok 2025 itu berkata maklumat Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan banyak dadah dicampur di dalam vape dirampas mampu membawa kepada ketagihan serius dan kematian akibat dos berlebihan.
Mengulas tema Hari Tanpa Tembakau Sedunia tahun ini, Subbarow berkata tema itu tepat kerana memberi tumpuan kepada strategi industri yang menggunakan pelbagai pendekatan untuk menarik pengguna muda.
Beliau berkata matlamat tema itu ialah mendedahkan cara syarikat tembakau menggunakan nikotin sintetik, garam nikotin dan analog untuk meningkatkan ketagihan sambil memasarkannya sebagai inovatif.
Selain itu, beliau berkata fokus utama kempen tahun ini ialah melindungi golongan belia berusia 13 hingga 15 tahun daripada pengaruh pemasaran industri nikotin serta mengurangkan daya tarikan produk berkenaan.
“Data global menunjukkan kira-kira 40 juta kanak-kanak berusia 13-15 tahun menggunakan produk tembakau manakala 15 juta menggunakan rokok elektronik dengan beberapa bidang menunjukkan kanak-kanak sembilan kali lebih cenderung untuk vape berbanding orang dewasa,” katanya.
Subbarow berkata kerajaan dan organisasi kesihatan di seluruh dunia digesa untuk mengharamkan perisa, meningkatkan sekatan pengiklanan di media sosial dan mengawal selia reka bentuk produk.
Hari Tanpa Tembakau Sedunia disambut pada 31 Mei setiap tahun di seluruh dunia bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya kesihatan akibat penggunaan tembakau dan menggalakkan persekitaran bebas asap rokok.
Di Malaysia, kempen antimerokok oleh CAP bermula sejak 50 tahun lepas yang digerakkan oleh bekas Presiden CAP Allahyarham S.M Mohamad Idris dengan kerjasama pakar antimerokok sedunia Dr Mary Assuntha.
-Bernama