
SADONG JAYA: Generasi muda disarankan agar mengekalkan tradisi dan warisan supaya tidak hilang ditelan zaman.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata aktiviti seperti tarian singa dan upacara tradisional sering dianjurkan untuk mengekalkan nilai dan warisan nenek moyang.
“Saya berharap generasi muda akan menjadi penyambung warisan kita hari ini. Jika tidak, semua yang kita raikan dan banggakan hari ini akan menjadi sia-sia,” katanya semasa berucap di Majlis Ulang Tahun ke-48 Persatuan Penganut Tua Pek Kong Semera Laut di sini, semalam.
Menurut Rodiyah lagi, persatuan ini bukan sahaja mempunyai peranan besar sebagai pusat aktiviti keagamaan malah ia juga menjadi pusat tumpuan komuniti dalam penganjuran majlis sosial dan aktiviti kebajikan bagi membantu golongan memerlukan.
Beliau turut terharu melihat keharmonian yang wujud dalam kalangan masyarakat di Batang Sadong, khususnya di Kawasan Sadong Jaya ini di mana masyarakat Tiong Hua dan pelbagai kaum lain hidup dalam semangat muhibah, saling menghormati agama, adat dan budaya masing-masing.
“Inilah kekuatan kita di Sarawak kerana adanya semangat perpaduan. Saya percaya dengan sokongan semua lapisan masyarakat kita mampu mengangkat kawasan ini menjadi lebih maju, sejahtera dan makmur.
“Dengan berdirinya pintu gerbang yang serba indah ini, saya melihat ia sebagai simbol kemegahan Tua Pek Kong dan lambang perpaduan masyarakat Cina dalam memupuk keharmonian di antara kaum lain,” ujar beliau yang turut merasmikan pintu gerbang baharu tokong berkenaan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kerjasama antara pihak Ahli Parlimen dan ADUN Sadong Jaya akan diteruskan dalam menyokong pembangunan infrastruktur dan program keagamaan di kawasan tersebut.
Katanya, Persatuan Penganut Tua Pek Kong Semera yang ditubuhkan sejak tahun 1977 adalah sebuah organisasi yang aktif dalam menganjurkan aktiviti sama ada keagamaan, kebudayaan dan sosial di Sadong Jaya.
-UKAS