BEIRUT: Puluhan ribu rakyat Lubnan yang kehilangan tempat tinggal akibat perang antara Israel dan Hizbullah mula kembali ke bandar dan kampung mereka yang musnah sejak semalam (waktu tempatan) ketika gencatan senjata berkuat kuasa.
Di bawah syarat perjanjian yang menghentikan perang, tentera Lubnan mula mengukuhkan kedudukannya di selatan negara itu, di mana Hizbullah telah lama berkuasa.
Di bawah perjanjian gencatan senjata, tentera Israel akan kekal di kedudukan mereka, tetapi tempoh 60 hari akan bermula di mana tentera dan pasukan keselamatan Lubnan memulakan penempatan ke arah selatan,” kata seorang pegawai AS yang enggan dikenali kepada wartawan.
Pada Rabu, seorang wartawan AFP menyaksikan tentera dan kenderaan Lubnan dikerahkan di dua wilayah di selatan, merujuk kepada kawasan di selatan Sungai Litani yang terletak dalam lingkungan 30 kilometer (km) dari sempadan Israel.
“Tentera telah mula memperkukuh kehadiran mereka di sektor Selatan Litani dan memperluas kuasa kerajaan dengan kerjasama Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL),” kata tentera dalam satu kenyataan.
Israel mengalihkan tumpuannya dari Gaza ke Lubnan pada September lalu untuk mengukuhkan sempadan utaranya daripada serangan Hizbullah, mengakibatkan kumpulan itu menghadapi beberapa serangan hebat.
Kumpulan yang disokong Iran itu bangkit daripada perang yang semakin lemah, termasuk pembunuhan dalam serangan udara Israel terhadap pemimpin lamanya Hassan Nasrallah.
Bagaimanapun itu tidak menghalang Hizbullah daripada mengisytiharkan ‘kemenangan’ ke atas Israel dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
“Kemenangan daripada Allah maha kuasa adalah sekutu bagi tujuan benar,” kata kenyataan Hizbullah itu.
Ahli Parlimen Hizbullah, Hassan Fadlallah memberitahu AFP kumpulannya bekerjasama dalam penempatan tentera Lubnan di selatan Lubnan.
Katanya, terdapat ‘kerjasama penuh’ dengan negara Lubnan dalam mengukuhkan penempatan tentera dan kumpulan itu ‘tidak mempunyai senjata atau pangkalan nyata’ namun ‘tiada sesiapa boleh membuatkan penduduk meninggalkan kampung mereka’.
Jalan raya dari ibu negara Lubnan ke selatan sesak dari sebelum subuh dengan beribu-ribu orang dalam perjalanan pulang ke rumah.
Wartawan AFP melihat kereta dan bas mini memuatkan ramai penumpang yang membawa tilam, beg pakaian dan selimut, dengan beberapa membunyikan hon dan menyanyi kegembiraan.
Di Lubnan, lebih 900,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing sejak beberapa minggu kebelakangan ini, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika Israel menyerang negara itu dengan meletakkan sasaran utama serangan ke atas kubu kuat Hizbullah.
Sementara itu, Speaker Parlimen Lubnan, Nabih Berri menggesa mereka yang kehilangan tempat tinggal untuk kembali walaupun rumah yang didiami mereka sebelum ini musnah.
“Saya mahu anda pulang ke rumah… kembali ke tanah anda,” katanya yang mengetuai rundingan bagi pihak sekutunya Hizbullah.
Dalam pada itu, Perdana Menterinya, Najib Mikati menggesa Israel untuk menghormati syarat-syarat gencatan senjata dan berkata Lubnan sedang berada dalam ‘salah satu fasa paling menyakitkan dalam sejarah moden Lubnan’.
Sementara itu, Jurucakap Tentera Israel, Daniel Hagari, berkata pihaknya mengawal kedudukan di selatan Lubnan dengan pesawatnya terus melintasi ruang udara Lubnan.
Katanya, Israel semalam menangkap suspek yang dipercayai pengganas dan membunuhnya.
Dalam pada itu, Lubnan memaklumkan, sekurang-kurangnya 3,823 orangnya terbunuh di negara itu sejak serangan berbalas tembakan merentasi sempadan bermula pada Oktober tahun lalu dan kehilangan nyawa semakin meruncing sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Pihak berkuasa Israel memaklumkan peperangannya dengan Hizbullah mengakibatkan sekurang-kurangnya 82 tentera dan 47 orang awam terbunuh. – AFP