MAUMERE, Indonesia: Gempa bumi berukuran 7.7 magnitud melanda kawasan luar pantai Pulau Flores di timur Indonesia pada 5.58 pagi (waktu Malaysia), mengorbankan sekurang-kurangnya seorang dan menyebabkan ribuan penduduk berpindah.
Penduduk di Kabupaten Nagekeo, kawasan paling hampir dengan pusat gempa, bergegas ke kawasan lebih tinggi selepas air laut surut, yang mungkin menjadi petanda tsunami menghampiri, menurut wartawan AFP di lokasi.
Amaran tsunami kemudian ditarik balik, namun penduduk diingatkan supaya tidak kembali ke bangunan yang rosak kerana gegaran susulan boleh menyebabkan struktur berkenaan runtuh.

Yohanes Babo, 56, penduduk Nagekeo, berkata beliau berada di pasar ketika bumi mula bergegar.
“Gegaran itu kuat. Mujurlah kami sudah berada di luar rumah,” katanya kepada AFP.
“Orang ramai panik dan berlari ke sana sini. Kami berpindah buat sementara waktu dan cuba menuju ke kawasan bukit,” katanya sambil menambah keluarganya selamat dan tiada yang cedera.
Pusat gempa cetek itu terletak di luar pantai utara pulau berkenaan, kira-kira 68 kilometer barat laut bandar pesisir Ende, menurut pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Indonesia.
Gegaran itu disusuli beberapa gegaran susulan kuat di kawasan sama, termasuk satu gegaran berukuran 6.1 magnitud.
Pegawai kecemasan pada mulanya melaporkan dua kematian, namun kemudian membetulkan jumlah itu kepada seorang maut dan empat cedera.
Tahap keseluruhan kerosakan masih dinilai, manakala rakaman televisyen menunjukkan pasukan penyelamat mencari mangsa yang mungkin terperangkap di celah runtuhan di Maumere, sebuah bandar di pantai utara Pulau Flores.
Lukas Lotar, penduduk Maumere yang terletak kira-kira 2,500 kilometer di timur Jakarta, berkata bumi “tiba-tiba mula bergegar dan saya panik”.

Foto AFP
“Pesakit juga melarikan diri dari hospital. Gegaran itu sangat kuat. Saya melihat beberapa dinding mengalami keretakan,” kata Lotar, seorang pegawai khidmat pelanggan hospital, kepada AFP.
Kawasan terjejas itu kebanyakannya terdiri daripada pekan dan kampung yang mempunyai sedikit atau tiada bangunan tinggi.
Amaran Tsunami Ditamatkan
Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) pada awalnya memberi amaran mengenai kemungkinan gelombang tsunami susulan gempa itu dan menggesa penduduk berpindah ke kawasan lebih tinggi.
Amaran pada awalnya dikeluarkan bagi kemungkinan gelombang setinggi antara 0.5 hingga tiga meter, namun kemudiannya ditarik balik.
“Kami sudah menamatkan (amaran tsunami) tetapi akan terus memantau paras laut,” kata Wijayanto, yang seperti kebanyakan rakyat Indonesia, hanya menggunakan satu nama.
Indonesia dan negara jirannya sering mengalami gempa bumi kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik, iaitu kawasan berbentuk lengkungan yang mempunyai aktiviti seismik tinggi dari Jepun melalui Asia Tenggara hingga ke lembangan Pasifik.

Flores pernah dilanda gempa bumi berukuran 7.7 magnitud pada 1992, yang mencetuskan tsunami dan mengorbankan kira-kira 2,500 orang.
Antara gempa bumi paling dahsyat dalam sejarah Indonesia ialah gempa berukuran 9.1 magnitud pada 2004 yang melanda luar pantai Sumatera dan mencetuskan tsunami sehingga mengorbankan 220,000 orang di seluruh rantau berkenaan, termasuk kira-kira 170,000 di Indonesia.
Tragedi pada Hari Boxing itu merupakan antara bencana alam paling dahsyat dalam sejarah.
Pada 2018, gempa kuat melanda Pulau Lombok dan beberapa gegaran susulan berlaku dalam tempoh beberapa minggu berikutnya, mengorbankan lebih 550 orang di pulau peranginan itu dan Sumbawa yang berdekatan.
Pada tahun sama, gempa berukuran 7.5 magnitud diikuti tsunami melanda Palu, di Pulau Sulawesi, menyebabkan lebih 4,300 maut atau hilang. – AFP





