TOKYO: Satu gempa bumi dengan magnitud 6.4 telah menggegarkan pesisir barat Ishikawa, Jepun, hari ini, lapor Xinhua, memetik agensi cuaca negara.
Gempa berlaku pada jam 10:47 malam waktu tempatan pada kedalaman 10 kilometer (km), berukuran intensiti lima rendah pada skala intensiti gempa Jepun yang mempunyai skala tujuh di beberapa bahagian wilayah itu, kata Agensi Meteorologi Jepun (JMA).
Pusat gempa terletak pada garisan lintang 37 darjah utara dan garis bujur 136.5 darjah timur.
Bandar Wajima di Wilayah Ishikawa merekodkan intensiti gempa lima rendah, sementara di Timur dan Barat Wilayah Tayoma serta beberapa kawasan di Wilayah Fukui mengalami intensiti pada bacaan empat.
Pihak berkuasa menasihatkan agar pemantauan terus dilakukan. Tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Sekitar Januari tahun ini, satu siri gempa bumi kuat dengan magnitud sehingga 7.6 telah menggegarkan wilayah itu dan kawasan sekitarnya, menyebabkan lebih 400 orang terkorban dan ramai lagi masih tinggal di tempat perlindungan. – BERNAMA-XINHUA