
JAKARTA: Gempa bumi berukuran 6.7 pada skala Richter menggegarkan Kepulauan Tanimbar di timur Indonesia awal pagi Jumaat, dengan gegaran dirasai di beberapa kawasan, menurut Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG).
BMKG dalam satu kenyataan di laman sesawangnya memaklumkan gempa berlaku pada 12.53 pagi waktu tempatan, dengan pusat gempa terletak di laut sekitar 225 kilometer di utara Tanimbar.
Gempa berkenaan direkodkan pada 6.09 darjah Selatan dan 130.56 darjah Timur pada kedalaman 163 kilometer.
Bagaimanapun, gempa itu tidak mencetuskan amaran tsunami.
Agensi itu turut menasihatkan penduduk supaya berwaspada terhadap kemungkinan gempa susulan.
– Bernama