
XINING: Seorang disahkan maut manakala empat yang lain cedera setakat 6.40 petang Selasa selepas gempa bumi dengan magnitud 6.3, menggegarkan Wilayah Autonomi Haixi Mongolia dan Tibet di Wilayah Qinghai, barat laut China.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Rangkaian Gempa Bumi China, gempa bumi itu berlaku pada 5.06 petang pada kedalaman 10 kilometer, dengan pusat gempa dikesan pada 37.80 darjah utara garis lintang dan 95.56 darjah timur garis bujur.
Biro Seismologi Wilayah Qinghai telah menghantar pasukan kerja ke lokasi kejadian bagi membantu pihak berkuasa tempatan melaksanakan tindak balas kecemasan.
Menurut Biro Pengurusan Kecemasan Wilayah, respons kecemasan bencana gempa bumi Tahap II telah diaktifkan pada 6.10 petang. – Bernama-Xinhua