Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Gempa bumi 6.1 skala richter gegar timur laut Jepun, tiada amaran tsunami
  • GLOBAL

Gempa bumi 6.1 skala richter gegar timur laut Jepun, tiada amaran tsunami

Utusan Sarawak 5 hours ago
GEMPA bumi bermagnitud 6.1 menggegarkan timur laut Jepun, namun tiada ancaman tsunami dilaporkan.

TOKYO: Gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter menggegarkan timur laut Jepun awal Ahad namun tiada ancaman tsunami dikeluarkan, lapor Kyodo News.

Menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA), gempa yang berlaku pada 5.21 pagi itu berpusat di Lautan Pasifik, di luar pantai Wilayah Iwate pada kedalaman kira-kira 40 kilometer (km).

Gempa itu mencatatkan intensiti bawah 5 pada skala intensiti seismik Jepun yang mempunyai tujuh tahap di beberapa kawasan di Wilayah Aomori dan Iwate.

Syarikat Tohoku Electric Power Co. memaklumkan tiada sebarang keadaan luar biasa dikesan di loji janakuasa nuklear Higashidori di Aomori mahupun di kompleks janakuasa nuklear Onagawa di Wilayah Miyagi.

Japan Nuclear Fuel Ltd. turut memaklumkan bahawa tiada sebarang keadaan luar biasa dikesan di loji pemprosesan semula bahan api nuklear di Rokkasho, sebuah perkampungan pesisir pantai di Wilayah Aomori.

Gempa itu berlaku hanya beberapa hari selepas gempa bumi berukuran 7.2 pada skala Richter melanda kawasan sama, menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang cedera, menjejaskan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi Shinkansen serta memaksa sekolah ditutup sementara.

Gempa yang berlaku awal pagi Khamis itu juga berpusat di luar pantai Iwate pada kedalaman 44 km dan mencatatkan intensiti atas 6 pada skala intensiti seismik Jepun di Hashikami, Wilayah Aomori.

Ketika itu, JMA menasihatkan orang ramai supaya terus berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya gempa bumi dengan intensiti sehingga tahap yang sama dalam tempoh seminggu berikutnya.

Sementara itu, pada Jumaat, gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter menggegarkan Wilayah Yamanashi di tengah Jepun serta kawasan berhampiran.

Gempa yang berlaku lewat malam pada kedalaman kira-kira 20 km itu mencatatkan intensiti bawah 6 pada skala intensiti seismik Jepun di Fujikawaguchiko, Yamanashi.

Tiada sebarang keadaan luar biasa dikesan membabitkan aktiviti gunung berapi di Gunung Fuji, puncak tertinggi Jepun yang terletak di sempadan Wilayah Yamanashi dan Shizuoka.

Kawasan yang dilanda gempa itu terletak berhampiran pertembungan beberapa plat tektonik, termasuk Plat Laut Filipina.

Ia merupakan kali pertama sejak 1924, gempa bumi dengan intensiti dalam julat 6 pada skala intensiti seismik Jepun direkodkan di Yamanashi.- Bernama-Kyodo

Continue Reading

Previous: Taufan Mekkhala hampiri pantai Pasifik Kanto, seorang maut dalam tanah runtuh
Next: Angka korban gempa bumi di Venezuela meningkat lebih 1,400

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.