Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Gelombang haba cetus pembelian panik pendingin hawa di Perancis
  • GLOBAL

Gelombang haba cetus pembelian panik pendingin hawa di Perancis

Utusan Sarawak 10 hours ago
GELOMBANG haba yang melanda Paris memaksa orang ramai mencari pelbagai cara untuk menyejukkan badan, ketika permintaan terhadap pendingin hawa melonjak di seluruh Perancis. — Foto fail AFP

PARIS: Ratusan orang membanjiri pasar raya Lidl di sekitar Paris pada Khamis apabila berlaku insiden tolak-menolak dan pertengkaran ketika orang ramai berebut mendapatkan unit pendingin hawa pada harga murah menjelang gelombang haba yang dijangka sekali lagi melanda ibu negara Perancis itu.

Dengan kebanyakan pendingin hawa dijual pada harga tidak kurang daripada 1,200 euro (RM5,600) di tempat lain, polis dipanggil ke sekurang-kurangnya dua cawangan Lidl selepas orang ramai berpusu-pusu mendapatkan model asas yang dijual pada harga serendah 179 euro (RM835).

Seorang pelanggan, Mousa Traore, yang menunggu lebih sejam bersama kira-kira 200 pelanggan lain di sebuah cawangan kecil Lidl di utara Paris berkata, mereka dimaklumkan hanya dua unit pendingin hawa ditawarkan.

“Namun kemudian polis datang dan kami diberitahu tiada lagi unit yang tinggal. Saya rasa polis yang mengambilnya,” katanya sambil ketawa.

Perancis baru sahaja melalui gelombang haba paling buruk dalam rekod negara itu yang mengakibatkan peningkatan kematian, hospital sesak, sekolah ditutup dan beberapa festival muzik dibatalkan, manakala perkhidmatan kaji cuaca meramalkan satu lagi gelombang haba akan melanda hujung minggu ini.

Berikutan musim panas yang secara tradisinya sederhana, kebanyakan rumah dan sekolah di Perancis tidak dilengkapi sistem pendingin hawa, sekali gus menyukarkan penduduk menghadapi gelombang haba yang semakin kerap berlaku dan dikaitkan saintis dengan perubahan iklim akibat aktiviti manusia.

‘Memang gila’

Walaupun suasana di cawangan Lidl itu secara keseluruhannya terkawal, beberapa pertengkaran tercetus apabila ada pelanggan cuba memotong barisan.

“Saya tidak akan membuka kedai selagi kamu semua tidak beredar,” jerit seorang pengurus kepada pelanggan yang terus mendesaknya, manakala seorang lagi kakitangan memberitahu AFP hanya dua unit pendingin hawa dihantar ke premis itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mengesahkan sama ada kedua-dua unit berkenaan sudah dijual.

Di bandar Sevran, ratusan lagi pelanggan membanjiri sebuah pasar raya sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas apabila barisan kenderaan menuju ke premis itu memenuhi jalan utama di kawasan pinggir utara Paris.

Situasi sama turut berlaku di bandar berhampiran, Livry-Gargan.

“Saya mengalah, memang gila. Saya terpaksa meletakkan kereta beberapa jalan dari sini dan berjalan kaki, tetapi tempat letak kereta sudah dipenuhi orang ramai. Memang mustahil,” kata seorang penduduk tempatan yang hanya dikenali sebagai Lolo kepada AFP.

Permintaan tinggi terhadap pendingin hawa itu berlaku meskipun rakyat Perancis sejak sekian lama memandang penggunaan alat berkenaan sebagai tidak mesra alam.

Tinjauan melibatkan lebih 1,000 responden yang diterbitkan bulan lalu mendapati lapan daripada 10 rakyat Perancis beranggapan pendingin hawa memberi kesan negatif kepada alam sekitar.

Namun, persepsi itu dilihat semakin berubah apabila suhu terus meningkat, sekali gus menyebabkan unit pendingin hawa habis dijual dalam tempoh singkat.

Ketika gelombang haba memuncak pada 22 Jun lalu, pengendali pasar raya besar Carrefour menjual 30,000 unit pendingin hawa menjelang 6.30 petang, iaitu kira-kira seribu kali ganda lebih tinggi berbanding jualan pada hari biasa, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alexandre Bompard.

Menurut Agensi Alam Sekitar Perancis (Ademe), kadar pemilikan pendingin hawa dalam isi rumah di negara itu meningkat daripada 18 peratus pada 2023 kepada 24 peratus pada 2025. — AFP

Continue Reading

Previous: Cuaca ekstrem landa Kanada, cetus gelombang panas melampau dan banjir

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.