
SARATOK: Impian warga Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Nyiar, Roban untuk memiliki gelanggang serbaguna berbumbung akhirnya menjadi kenyataan menerusi pelaksanaan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang telah siap sepenuhnya.
Kemudahan baharu itu bukan sahaja memberi ruang kepada pelbagai aktiviti sukan dan kokurikulum, malah turut meningkatkan aspek keselamatan serta keselesaan kepada warga sekolah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata projek tersebut merupakan antara usaha berterusan kerajaan dalam memastikan kemudahan pendidikan di kawasan luar bandar sentiasa dipertingkatkan.
Menurut beliau, penyediaan infrastruktur yang lebih baik di sekolah mampu menyokong perkembangan pelajar secara menyeluruh termasuk dalam bidang sukan, kokurikulum dan aktiviti komuniti.

Katanya lagi, projek itu juga membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan luar bandar dilaksanakan secara menyeluruh melalui inisiatif RTP.
Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Hamjah Ata telah mewakili ADUN Kalaka menghadiri pemeriksaan akhir bagi Sijil Penyiapan Praktikal (CPC) serta majlis penyerahan projek berkenaan.
Projek yang dilaksanakan itu melibatkan pembinaan baharu gelanggang serbaguna terbuka berbumbung di SK Sungai Nyiar yang kini boleh digunakan oleh warga sekolah untuk pelbagai aktiviti.
Pelaksanaan projek RTP tersebut berada di bawah seliaan Majlis Daerah Saratok yang bertindak sebagai agensi pelaksana bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Mohamad Duri turut merakamkan penghargaan kepada pihak kontraktor yang telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik sehingga projek tersebut berjaya disiapkan.
Beliau juga menzahirkan terima kasih kepada Majlis Daerah Saratok selaku agensi pelaksana yang memainkan peranan penting dalam memastikan projek itu siap sepenuhnya dan kini dapat dimanfaatkan oleh seluruh warga SK Sungai Nyiar, Roban.
Oleh Adi Safarman