
SARATOK: Gelanggang Futsal LAKIS Saratok yang menjadi antara lokasi utama aktiviti riadah dan sukan masyarakat setempat kini tampil dengan wajah baharu selepas siap dinaik taraf menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata projek naik taraf tersebut dilaksanakan bagi meningkatkan keselesaan serta keselamatan pengguna yang menggunakan kemudahan berkenaan.
Menurutnya, permukaan gelanggang yang sebelum ini kurang selesa untuk digunakan telah dinaik taraf dengan kemudahan yang lebih baik bagi memenuhi keperluan penggemar sukan futsal di seluruh Daerah Saratok.
Katanya, usaha menaik taraf gelanggang itu membuktikan komitmen kerajaan dalam menyediakan kemudahan sukan dan rekreasi yang berkualiti untuk manfaat masyarakat setempat.

“Dengan kemudahan yang lebih selesa ini, saya berharap lebih ramai belia dan masyarakat dapat memanfaatkan gelanggang ini untuk aktiviti riadah yang sihat,” katanya ketika menghadiri majlis serah tapak projek siap naik taraf Gelanggang Futsal LAKIS Saratok yang berlangsung di sini semalam.
Mohamad Duri berkata gelanggang futsal tersebut bukan sahaja digunakan oleh golongan belia, malah turut menjadi lokasi pilihan pelbagai lapisan masyarakat, sekolah dan jabatan kerajaan untuk menganjurkan pelbagai program serta aktiviti komuniti.
Beliau turut memaklumkan bahawa Pusat Khidmat ADUN N.38 Kalaka akan bekerjasama dengan LAKIS dalam mengurus serta menyelaras tempahan dan sewaan gelanggang bagi memastikan penggunaannya lebih teratur dan berkesan.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Majlis Daerah Saratok selaku agensi pelaksana, pihak LAKIS serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan sehingga siap mengikut perancangan.
Mohamad Duri turut mengingatkan semua pengguna agar sentiasa menjaga kebersihan kemudahan tersebut serta mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti sukan bagi memastikan gelanggang itu dapat dimanfaatkan dalam jangka masa panjang.
Oleh Adi Safarman