
RAMALLAH: Perdana Menteri Palestin Mohammad Mustafa pada Khamis merakamkan penghargaan mendalam terhadap sokongan berterusan Kesatuan Eropah (EU) terhadap penyelesaian dua negara dan penubuhan negara Palestin yang merdeka.
Menurut Agensi Berita Palestin (WAFA), beliau menegaskan yang pendirian prinsip EU memberi harapan baharu kepada rakyat dan kepimpinan Palestin bahawa hak sah mereka tidak akan dilupakan.
Berucap semasa sambutan Hari Eropah di Ramallah, dengan kehadiran Wakil EU ke Palestin Alexandre Stutzmann serta diplomat, pegawai dan orang kenamaan, Perdana Menteri turut melahirkan penghargaan kepada EU dan negara anggotanya atas sokongan politik, kewangan dan ekonomi yang konsisten dan berpanjangan kepada Palestin, termasuk sokongan terhadap Kerajaan Palestin dan programnya.
“Ini adalah mesej perkongsian yang kami banggakan,” kata Perdana Menteri Mustafa. “Ia adalah mesej sokongan yang memperkukuh komitmen Eropah untuk bekerjasama dengan Palestin dan rakan antarabangsa demi kebebasan dan kemerdekaan.”
Beliau mengalu-alukan peranan kepimpinan EU bersama-sama Arab Saudi dan Norway dalam Pakatan Global bagi Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara, yang bakal mencapai kemuncaknya pada persidangan antarabangsa di New York pada Jun ini, yang akan dipengerusikan bersama oleh Perancis dan Arab Saudi.
“Ini akan menjadi detik bersejarah dalam perjuangan kami untuk merealisasikan Negara Palestin yang merdeka,” katanya. “Peranan aktif Eropah hadir pada saat ada pihak yang mendakwa bahawa penyelesaian dua negara tidak lagi realistik. Pendirian ini amat dihargai dan sangat penting.”
Perdana Menteri turut menyatakan penghargaan terhadap kenyataan bersama oleh Pesuruhjaya Tinggi EU yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal luar negeri, rantau Mediterranean serta isu krisis dan migrasi.
Beliau juga menghargai kenyataan yang mengutuk tindakan Israel di Gaza, termasuk pengepungan berterusan, penggunaan kebuluran sebagai senjata serangan selain pemindahan paksa.
“Kami mengisytiharkan Gaza sebagai kawasan dilanda kebuluran pada Rabu,” kata Perdana Menteri. “Amat menyedihkan, dalam dunia hari ini yang sering melaungkan keadilan, hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, rakyat kami dibiarkan mati kebuluran.
Ini adalah satu penghinaan dan kegagalan moral yang mendalam. Tetapi Gaza akan terus bertahan. Ia akan bangkit dari kemusnahan dan akan berdiri megah bersatu dengan Baitulmuqaddis dan Tebing Barat dalam merealisasikan negara merdeka kami. Itulah janji kami untuk hari ini, esok dan masa depan,” katanya.
Beliau turut mengecam penutupan sekolah UNRWA (Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat) di Kem Pelarian Shu’fat di Baitulmuqaddis oleh pasukan pendudukan Israel, sambil menegaskan yang ia disengajakan bagi menafikan hak pendidikan kanak-kanak Palestin.
Dalam ucapannya, Wakil EU Alexander Stutzmann mengulangi gesaan segera EU agar Israel menamatkan sekatan ke atas Gaza, sambil menyatakan: “Bantuan kemanusiaan tidak boleh dipolitikkan atau dijadikan senjata tentera. Ia mesti disampaikan kepada orang awam yang memerlukannya.”
Stutzmann turut mengumumkan komitmen semula EU kepada rakyat Palestin melalui program sokongan pelbagai tahun bernilai sehingga €1.6 bilion bagi tempoh tiga tahun akan datang. “Kami lebih komited daripada sebelumnya untuk terus bekerjasama dan menyokong rakyat Palestin secara kewangan, politik dan konsisten. Kami tidak akan meninggalkan anda,” katanya. -Bernama-Wafa