
PAKAN: Masyarakat rumah panjang diharap terus mengekalkan semangat perpaduan dan mengelakkan perpecahan dalam menghadapi sebarang cabaran.
Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri William Mawan Ikom berkata sambutan Gawai Dayak seharusnya menjadi simbol penyatuan semua kaum tanpa mengira bangsa, agama, atau peringkat umur.
Justeru itu, katanya sambutan ini perlu dimanfaatkan untuk terus memperkukuh perpaduan demi mengekalkan keharmonian dan kestabilan dalam komuniti.
“Sebarang isu atau kekeliruan yang timbul harus diselesaikan secara bijaksana melalui perbincangan bersama Ketua Kaum dan Tuai Rumah,” katanya ketika menghadiri Program Bejalai Nemuai Ngabang Gawai Dayak 2025 semalam.
Beliau turut menggesa agar sambutan Gawai Dayak dijadikan sebagai platform untuk mengukuhkan semangat kekitaan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat luar bandar, khususnya di kawasan seperti Pakan.
Pada sebelah pagi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan itu telah menyantuni penduduk di Rumah Panjang Munan, Rantau Sabong, sebelum meneruskan ziarah Gawai ke Rumah Anding, Entegelam, Pakan pada sebelah petang. -UKAS