‘Gastronomi perlu beri manfaat kepada rakyat’ – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan Ketiga Rangkaian Bandar Raya Kreatif UNESCO (UCCN) bagi Bandar Raya Kreatif Gastronomi di Kuching.

KUCHING: Gastronomi bukan sekadar berkaitan makanan, sebaliknya mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, pemeliharaan warisan budaya serta penciptaan peluang baharu untuk masyarakat, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, pembangunan gastronomi perlu memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya komuniti akar umbi dan luar bandar yang memiliki sumber, kemahiran serta warisan kulinari tersendiri.

“Pembangunan hanya bermakna apabila manfaatnya sampai kepada keluarga biasa, mewujudkan peluang di peringkat akar umbi dan membolehkan komuniti menikmati hasil daripada warisan serta sumber mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Ketiga Rangkaian Bandar Raya Kreatif UNESCO (UCCN) bagi Bandar Raya Kreatif Gastronomi di sini, hari ini.

Abang Johari menjelaskan, penganjuran mesyuarat itu merupakan detik bersejarah buat Sarawak apabila Kuching diberi kepercayaan menjadi tuan rumah perhimpunan berkenaan buat julung kalinya selepas diiktiraf sebagai Bandar Raya Kreatif Gastronomi UNESCO pada 2021.

Menurut beliau, pengiktirafan itu bukan sekadar terhadap makanan yang dihasilkan, malah turut mencerminkan masyarakat pelbagai budaya, kearifan masyarakat pribumi, kekayaan biodiversiti serta usaha generasi Sarawak dalam memelihara tradisi kulinari.

“Pengiktirafan ini adalah terhadap masyarakat kita, kebijaksanaan masyarakat pribumi, kekayaan biodiversiti serta generasi Sarawak yang telah memelihara tradisi makanan mereka dengan penuh kebanggaan dan dedikasi,” katanya.

Abang Johari berkata, walaupun para peserta hadir daripada latar belakang budaya dan tradisi yang berbeza, mereka disatukan oleh pemahaman bahawa gastronomi jauh lebih besar daripada sekadar memenuhi keperluan pemakanan.

“Sarawak mempunyai kelebihan tersendiri dalam bidang gastronomi dengan lebih 30 kumpulan etnik yang masing-masing memiliki tradisi makanan unik yang berkembang sejak berabad-abad lamanya.

“Makanan mencerminkan identiti, warisan, kreativiti dan masa depan bersama,” ujarnya.

Beliau berkata, setiap resipi membawa cerita tersendiri, manakala setiap bahan mencerminkan persekitaran asalnya serta hubungan erat masyarakat dengan alam sekeliling.

Mengulas tema mesyuarat tahun ini, iaitu “Berakar pada Warisan, Membina Masa Depan: Gastronomi sebagai Pemangkin Bandar Raya Kreatif dan Mampan”, Abang Johari berkata, tema tersebut selari dengan hala tuju yang perlu diteruskan bersama.

Beliau menegaskan bahawa warisan tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang hanya disimpan di muzium atau dicatat dalam buku sejarah, sebaliknya perlu terus hidup, berkembang dan kekal berakar pada asal usulnya.

Dalam pada itu, beliau berkata gastronomi perlu diiktiraf sebagai sektor ekonomi penting yang menyokong keseluruhan rantaian nilai melibatkan petani, nelayan, pengeluar makanan, usahawan, penggiat seni, penyelidik dan cef.

Tambah beliau, bidang itu bukan sahaja memelihara budaya dan identiti masyarakat, malah membuka peluang pekerjaan serta perniagaan, khususnya kepada komuniti tempatan dan usahawan kecil.

“Gastronomi mengubah sumber tempatan, kemahiran dan tradisi kepada peluang ekonomi yang mampan,” katanya.

Abang Johari turut berharap perbincangan sepanjang mesyuarat itu dapat menghasilkan idea baharu bagi memperkasa bidang gastronomi serta memperkukuh kedudukan Sarawak di peringkat antarabangsa.

Mesyuarat itu menghimpunkan wakil daripada 40 bandar raya gastronomi di seluruh dunia, sekali gus menjadikan Kuching sebagai platform antarabangsa untuk perkongsian idea, pengalaman dan inspirasi dalam bidang gastronomi.

Oleh Adele Rissa