KUCHING: Gabungan Anak Sarawak (GASAK) tidak akan terkesan dengan senario politik di Semenanjung kerana parti itu hanya menumpukan kepentingan negeri ini dan eksklusif untuk rakyat Sarawak sahaja.
Presiden GASAK, Bobby William berkata demikian ketika diminta mengulas susulan pengumuman mengejut Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan pembentukan kerajaan baharu di bawah pimpinannya, baru-baru ini.
“Tidak kira siapa pun menjadi Perdana Menteri, mereka (Kerajaan Persekutuan) tetap tidak akan memberikan perhatian kepada kita di Sarawak dan Sabah.
“Oleh itu, GASAK kekal dengan prinsip untuk menolak kerjasama dengan mana-mana parti dari Malaya (Semenanjung) serta rakan sekutunya seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan meneruskan perjuangan utama untuk Sarawak,” ujarnya.
Ketua Pengerusi GASAK, Lina Soo yang turut hadir berpendapat pembubaran parlimen adalah jalan terbaik bagi menyelesaikan kemelut pertukaran kerajaan.
“Sekiranya konflik seperti ini berterusan, ekonomi negara akan terjejas kerana ramai pelabur luar negara akan menarik balik keyakinan mereka untuk melabur di sini,” katanya.
Terdahulu, GASAK mengadakan sidang media bagi mengumumkan pendaftaran rasmi mereka kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Malaysia beserta logo baharu gabungan tersebut.
Bobby selaku Presiden mengesahkan setakat ini sebanyak sepuluh calon dan tambahan seorang lagi calon dari kerusi Dewan Undangan Negeri Pujut iaitu Fong Fau Teck, akan bertanding untuk pilihan raya akan datang.
Selain itu, Bobby turut menegaskan GASAK akan menggunakan manifesto daripada Aspirasi untuk pilihan raya nanti.
“Sekiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat dan kami (GASAK) belum sempat didaftarkan secara lengkap, kami akan menggunakan logo Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi).
“Kami akan menggunakan hanya satu logo di bawah satu gabungan sahaja, GASAK atau Aspriasi, bagi mengelakkan pertembungan sesama parti komponen dalam menentang musuh utama kami iaitu parti dari Malaya dan GPS,” tambah Bobby.