KUCHING: Gara-gara perbuatan khianat seorang lelaki bekas polis dijatuhi hukuman denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh Ismail Solhi, 45, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.
Mengikut pertuduhan yang pertama, dia didakwa melakukan khianat memecahkan cermin sebuah masjid di sebuah kampung kira-kira 6.30 petang pada 31 Januari lalu sehingga menyebabkan kerugian RM150.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Zubaidah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau satu bulan penjara terhadap tertuduh atas kesalahan tersebut.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa di bawah Peraturan 25 (1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana gagal mengemukakan kad pengenalan diri ketika ditahan pihak berkuasa di sebuah kedai runcit di Jalan Stephen Yong, kira-kira 11.45 pagi, 1 Februari lalu.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Zubaidah menjatuhkan hukuman denda RM500 atau sebulan penjara terhadap tertuduh jika gagal menjelaskan denda.
Oleh NICKELYSON LAKUN