

MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri menahan dua ‘Offshore Support Vessel’ (OSV) kerana gagal mempamerkan dokumen sah di kedudukan 9.4 batu nautika barat Tanjung Lobang di sini, semalam.
Penahanan itu dibuat atas dua kesalahan, iaitu gagal melaporkan pertukaran nahkoda kepada pegawai pelabuhan serta gagal mempamer dan mengemukakan dokumen Domestic Shipping License (DSL) yang sah setelah diperiksa anggota operasi Maritim Malaysia.
Pengarah Zon Maritim, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad menerusi satu kenyataan petang tadi berkata, OSV berkenaan ditahan oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia dalam Op Permai 01/2019, Op Naga Timur, Op Tiris 3.0, dan Op Khas Pagar Laut antara 6.25 dan 6.46 petang.
“OSV itu dikendalikan oleh 12 kru termasuk nakhoda warga tempatan dan warga Indonesia dalam lingkungan usia 32 hingga 63 tahun, yang mana mereka telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Mohd Khairol berkata, vesel dan kesemua yang ditahan seterusnya diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PVT) Miri untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal melaporkan pertukaran nahkoda kepada pegawai pelabuhan dan gagal mempamer serta mengemukakan Domestic Shipping License (DSL) semasa diperiksa.
Untuk sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh mengubungi Pusat Operasi Maritim (PUSOP) Zon Maritim Miri di talian 085649 111 atau Maritim Negeri Sarawak (082432544/082432016) atau melalui talian bantuan kecemasan 999 untuk maklum balas segera.
Oleh Liong Chai Ling