KETUA Jurulatih Skuad Bola Sepak Sukma, Ahmad Fairuz Mohd. Yunus mengakui, tempoh dua minggu awal latihan pasukannya lebih kepada pembentukan kembali tahap kecergasan.
Menurut Ahmad Fairuz, lebih tiga bulan pemainnya tidak terlibat dengan latihan secara komprehensif.
Justeru katanya, agenda utama piahknya ketika ini ialah cuba mengembalikan kecergasan para pemain bagi memastikan mereka lebih bersedia seperti sedia kala.
“Kita tahu lebih tiga bulan pemain tidak berlatih seperti mana sebelumnya gara-gara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.
“Dan kita harus gunakan masa yang ada ini untuk membina kembali kecergasan dikalangan pemain,” ujar Ahmad Fairuz ketika ditemui selepas sesi latihan hari pertama di Stadium Sarawak, Petra Jaya semalam.
Beliau memberitahu, sesi latihan pemainnya yang berpandu kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) tanpa bersentuhan.
Tambah Ahmad Fairuz, latihan menghimpunkan pemain sedia ada tidak dijalankan secara serentak.
“Latihan dibahagi kepada tiga kumpulan dan tidak dilaksana secara serentak,” tegas Ahmad Fairuz.
Pembentukan skuad bola sepak Sukma Sarawak dengan mengadaptasi pemain skuad Sarawak United III (Piala Presiden), skuad Piala Belia dan skuad Piala Presiden Kuching FA.
Oleh Faizal Bujang